SEPANGGAR 10 Dis. - Penggiat koperasi di negeri ini diingatkan tidak menyalah guna kuasa yang diberikan untuk mengurus perjalanan koperasi dan memberi keuntungan kepada ahli serta bukan menjadikan institusi tersebut sebagai pusat memberi hutang atau lebih teruk bertindak sebagai ah long.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121211/wb_02/Penggiat-koperasi-diingatkan-jangan-jadi-ah-long
Published: December 11, 2012
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Umar Sarim Saidin berkata, meskipun tiada kes seumpama itu dilaporkan di negeri ini namun pihaknya memberi ingatan tegas kepada mana-mana pihak pengurusan koperasi untuk tidak menjalankan kegiatan tidak bermoral termasuk perniagaan skim cepat kaya.
Katanya, tindakan berselindung di sebalik nama koperasi tetapi sebenarnya melakukan aktiviti tidak sihat akan merosakkan nama baik institusi itu yang ditubuhkan untuk membantu orang ramai dan pengusaha perniagaan kecil.
"Jangan gunakan nama dan fungsi koperasi untuk aktiviti yang tidak bermanfaat serta kepentingan sendiri seperti memberi pinjaman mengikut cara ah long kerana ia akan memberi tanggapan buruk kepada orang ramai terhadap peranan koperasi yang berusaha meningkat hasil pendapatan serta ekonomi masyarakat," katanya di sini hari ini.
Umar Sarim berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Mini Karnival Koperasi Peringkat Majlis Perundingan Koperasi Parlimen Sepanggar di Dewan Masyarakat Menggatal.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Sepanggar yang juga Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Sepanggar, Datuk Jumat Idris dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Jainab Ahmad.
Mengulas mengenai program jelajah SKM di Sabah, Umar Sarim berkata, program hari ini adalah penganjuran kali kedua setelah dilakukan di Kudat, kelmarin yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Menurutnya, majlis sama juga akan diadakan di Putatan, dekat sini pada Khamis ini yang akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sementara di Tuaran pada Ahad ini dijangka dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Mohd. Noor.
Jelasnya, program seumpama itu penting bagi membawa syarikat koperasi yang beroperasi di negeri ini kepada masyarakat setempat, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui lebih dekat fungsi sebenar institusi tersebut.
Katanya, selain memberi maklumat bahawa SKM menyediakan Tabung Modal Pusingan kepada koperasi tanpa melibatkan cagaran serta program tukar bagi bantuan infrastruktur, penganjuran seminar yang diadakan dalam program seumpama itu juga dilihat berperanan menarik minat orang ramai untuk melabur dalam koperasi.
No comments:
Post a Comment