Saturday, December 22, 2012

Penyeragaman Harga Barangan Turut Libat Produk KR1M, Coop 1Malaysia Dan Fama

KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Penyeragaman harga barangan bersubsidi akan turut melibatkan barangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Coop 1Malaysia dan produk yang diedarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=917157
Published: December 22, 2012

Pada pembentangan Belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penyeragaman harga barangan bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan Semenanjung Malaysia.

Beliau berkata penyeragaman harga barangan itu akan bermula Januari tahun depan.

"Kerajaan akan menanggung kos penghantaran produk untuk bawa lebih barang keperluan khasnya kepada penduduk di luar bandar. Program penyeragaman harga di bawah Belanjawan 2013 sebagai langkah menangani masalah kenaikan kos sara hidup serta kos barang keperluan asas yang jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan 'Majlis Perjumpaan YB Timbalan Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Negeri Sarawak 2012' di sini hari ini.

Sementara itu, Rohani berkata dua kedai KR1M di Sarawak mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk setempat.

"Setakat ini kita belum menerima sebarang rungutan negatif mengenai KR1M, sebalik yang menjadi masalah sekarang ialah barangan di kedai KR1M cepat habis. Kedai KR1M di sini juga pernah mencatatkan rekod jualan harian sebanyak RM40,000," katanya.

Beliau berkata sebanyak 57 lagi KR1M akan dibuka di Sarawak dan Sabah pada 2013, sehubungan itu kementerian kini giat menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk terlibat secara aktif sebagai pembekal barangan di KR1M.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment