KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Carrera y Carrera, jauhari terkenal
Sepanyol, melancarkan koleksi terkininya, 'Sol y Sombra' di Malaysia.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=917105
Published: December 22, 2012
Ketua Pegawai Eksekutifnya Nathalie Guedj berkata syarikat itu
memutuskan untuk mempamerkan koleksi berkenaan di sini kerana kualiti
pusat membeli-belah Starhill Gallery serta komitmen dan semangat
kakitangan untuk jenama Carrera.
"Kami mahu mempamerkan Sombra. Ia tidak pernah diperkenalkan di
Malaysia sebelum ini," kata beliau kepada Bernama di Starhill Gallery di
sini.
Sombra, dalam emas putih yang didatangkan dalam set kalung, gelang,
anting-anting serta cincin, direka dalam bentuk matahari dengan jumlah
31.63 karat berlian.
Guedj, rakyat Sepanyol, berkata kebanyakan koleksi syarikat diilhamkan berdasarkan flora dan fauna serta budaya Sepanyol.
Ada kisah di sebalik setiap koleksi dan setiap tahun syarikat itu akan tampil dengan tema bagi setiap reka bentuk mereka.
Tema 'Muzik' tahun ini dilancarkan pada Mei dan tiba di sini pada September.
Reka bentuk sebelum ini berdasarkan gitar Sepanyol, pakaian Flamenco wanita dan juga diilhamkan daripada pakaian matador.
Carrera y Carrera bermula pada abad ke-19 di sebuah bengkel kecil di
tengah Madrid di mana dua sepupu Carrera terlibat dalam perniagaan
pemotongan berlian.
Terdapat 600 koleksi dipamerkan di butik berkenaan dan dihasilkan secara manual di bengkel mereka di Sepanyol.
"Harganya dari RM4,000 sehingga RM35,000," kata Guedj.
Kelebihan Carrera y Carrera adalah pada hasil kemahirannya yang halus dan reka bentuk yang hebat.
Jenamanya adalah tentang kreativiti, budaya dan klasik yang menawarkan
barang kemas yang mengagumkan dan mempunyai daya tarikan.
"Ini menjadikan kami istimewa dan merupakan satu kelebihan kami," kata Guedj.
Carrera y Carrera diminati selebriti seperti Mariah Carey, Lady Gaga, Scarlet Johansson dan Giselle Bundchen.
Rekaannya berada di 34 negara di seluruh dunia dan mempunyai 22 butik.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment