JOHOR BAHARU, 24 Jun (Bernama) -- Seorang pengusaha kedai makan di
Taman Pelangi di sini terpaksa berehat semalam kerana tidak mempunyai
pelanggan - semuanya kerana kehadiran jerebu.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130625/wk_01/Gerai-makan-turut-terjejas
Published: Jun 24, 2013
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=958360
Published: Jun 24, 2013
GERAI-GERAI makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur kelihatan
lengang berbanding kebiasaan, dipercayai disebabkan oleh cuaca berjerebu.
Orang ramai tidak selesa untuk menjamu selera di premis terbuka,
selain bimbang terdedah kepada risiko kesihatan.
Tinjauan Utusan Malaysia di gerai makanan sekitar Kampung Baru
kira-kira pukul 1 petang ini mendapati, lokasi yang mendapat jolokan
'syurga makanan KL' itu kurang dikunjungi orang ramai.
Malah, terdapat pengusaha yang memilih untuk memendekkan waktu
operasi dan mengurangkan pilihan makanan kerana mahu menutup lebih awal
berbanding hari biasa.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Fazilah berkata,
perniagaan nasi campur yang diusahakannya sejak enam tahun lalu turut
terjejas akibat cuaca berjerebu.
"Selalunya waktu begini sudah dipenuhi pelanggan, tetapi sejak dua
hari lalu boleh dikira dengan jari kerana ramai pelanggan memilih untuk
menjamu selera di tempat tertutup dan berhawa dingin kerana tidak mahu
terdedah kepada jerebu.
"Bagaimanapun, saya tetap membuka kedai seperti biasa kerana ini
sumber rezeki kami dan mengambil inisiatif untuk menutup lauk-pauk yang
dihidang dengan kepingan plastik," katanya ketika ditemui di sini hari
ini.
Sementara itu, peniaga roti canai, Zaini Ilyas, 52, berkata, masalah jerebu yang melanda kini menyebabkan orang ramai lebih suka berada di dalam bangunan.
"Tetapi, saya mendapati pelanggan datang seperti biasa dan syukur
perniagaan tidak begitu terjejas biarpun jerebu semakin teruk melanda
ibu negara," katanya yang memulakan perniagaan pada pukul 6 pagi.
Kakitangan swasta, Faez Fakharie Abdul Halim, 26, berkata, dia tetap membeli makanan di gerai makanan namun memilih untuk menjamu selera di rumah atau pejabat.
"Risiko untuk dijangkiti penyakit berkurangan kerana kita tidak
terlalu lama terdedah dengan asap jerebu dan pengusaha juga mengambil
langkah-langkah yang sepatutnya termasuk menutup makanan yang
dihidangkan," ujarnya.
Ahmad Mustaqim Murad, 25, pula berkata, orang ramai perlu memilih
premis makanan yang tertutup buat masa ini untuk memastikan kesihatan
tidak terjejas.
"Kita ada pilihan kedai yang tertutup berbanding gerai-gerai tepi
jalan yang popular dan digemari ramai, tidak rugi kita elakkan berada di
kawasan terbuka ketika musim jerebu ini," katanya.
No comments:
Post a Comment