TELOK KEMANG 19 Jun - Pasar tani boleh dijadikan sebagai produk pelancongan menarik lebih ramai pengunjung sekiranya pengisian dalamannya dapat dilakukan dengan lebih tersusun lagi menarik.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130620/ws_01/Jadikan-pasar-tani-produk-pelancongan
Published: Jun 20, 2013
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan dan Kepenggunaan negeri,
Tun Hairudin Abu Bakar berkata, di samping pengguna mendapatkan bekalan
untuk keperluan harian, pasar tani boleh menjadi lokasi memperkenalkan
produk asas tani yang baharu dan lain-lain.
''Dengan harga yang ditawarkan lebih rendah, produknya dipelbagaikan
serta bermutu, saya percaya ia akan menjadi satu tarikan, bukan sahaja
kepada masyarakat tempatan tetapi mereka yang datang bercuti di Port
Dickson dan negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Sambutan Hari
Bapa anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di
Springhill dekat sini hari ini.
Tun Hairudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang
berkata, untuk menjadikan pasar tani lebih relevan kepada pengguna,
harga yang ditawarkan hendaklah sentiasa di tahap kemampuan beli
pengguna.
''Dengan tanda harga yang lebih terang, cara persembahan kepada
pengguna, ini juga akan menambah nilai kepada produk jualan," katanya.
Pada masa sama katanya, kemampuan pasar tani juga perlu diperluaskan
seiring dengan keperluan pengguna yang pelbagai dari semasa ke semasa.
''Skop pasar tani ini perlu diperluaskan, bukan sahaja terhad kepada
pengeluaran makanan, tetapi hendaklah mengambil kira kepelbagaian
seperti produk pakaian, kraf, bunga, ukiran dan banyak lagi.
Perlu ada
kelainan dalam memperkukuhkan pasar tani dan tidak hanya tertumpu kepada
produk basah seperti ayam, ikan dan sayuran," katanya.
Selain itu katanya, imej pasar tani ini juga perlu dijaga dengan penampilan peniaga melalui imej bersih, sopan dan mesra.
Dalam pada itu, Pengarah FAMA negeri, A. Rahaman Suleiman
memberitahu, pihaknya merancang untuk mengindahkan lagi konsep pasar
tani agar menjadi lebih menarik dan mendorong orang ramai untuk
membeli-belah.
''Kita harap masyarakat akan menjadikan pasar tani sebagai destinasi
yang perlu dilawati setiap minggu bagi membeli barang keperluan. Dengan
amalan ini mampu melonjak dan memperkembangkan imej pasar tani,"
jelasnya.
No comments:
Post a Comment