DUNGUN, 12 Jun (Bernama) -- Felda Wilayah Terengganu akan membuka
sebuah pusat bagi mengumpulkan produk yang diusahakan oleh usahawan dari
20 tanah rancangannya di negeri itu untuk dipasarkan.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=955545
Published: Jun 13, 2013
Penolong Pengurus Besar (Komuniti) Felda Wilayah Terengganu Badariah Che
Omar berkata pusat yang dinamakan Sawari (Satu Wilayah Satu Industri)
itu akan ditempatkan di Pejabat Felda Wilayah Terengganu dan dijangka
beroperasi bulan depan.
"Kita sudah ambil pekerja untuk ditempatkan di pusat pengumpulan produk
berkenaan. Sebelum Sawari dibuka, kita akan hantar mereka (pekerja)
berkursus dulu pada 21 Jun ini.
"Sekarang kita hanya tunggu kelulusan daripada ibu pejabat sahaja untuk
memulakan operasi pusat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Karnival Pembiayaan Usahawan dan Anugerah Usahawan Felda
Wilayah Terengganu 2012 di Pusat Latihan (Felda) Kerteh dekat sini hari
ini.
Badariah berkata ketika ini terdapat 2,762 usahawan Felda dari 20 tanah
rancangannya di negeri itu yang mengeluarkan pelbagai produk makanan
termasuk makanan tradisional Terengganu serta pelbagai produk kraf
tangan, menerusi industri kecil dan sederhana (IKS).
Beliau berkata Felda mencapai 3,000 usahawan di Terengganu pada akhir tahun ini.
Menurutnya Felda sentiasa membantu dan membimbing usahawannya dengan
kerjasama agensi lain seperti Fama untuk mengetengahkan usahawannya
sehingga berjaya.
"Kita juga mengeluarkan bantuan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan
sejak 2002. Kini, kita mengeluarkan pinjaman modal kira-kira RM5 juta
melibatkan 562 usahawan. Pinjaman tidak pernah kita hadkan dan mana-mana
usahawan Felda yang berkelayakan kita akan bagi pinjaman," katanya.
Badariah berkata bagi pinjaman RM10,000 ke bawah, boleh diluluskan oleh
Felda Terengganu manakala bagi RM10,000 ke atas akan diluluskan oleh
ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.
Pada majlis itu Zakaria Mat Hassan, 57, dari Felda Kerteh 2, menerima
anugerah Usahawan Jaya Felda Wilayah Terengganu bagi 2012.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment