Thursday, July 18, 2013

Syarat Baharu Bank Negara Beri Impak Kepada Angkasa

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Syarat baharu Bank Negara Malaysia mengehadkan tempoh maksimum pinjaman peribadi dan pembiayaan pembelian rumah untuk penjawat awam bakal memberi kesan kepada prestasi kewangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=964027
Published: July 18, 2013

Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata kebanyakan koperasi di bawah Angkasa menawarkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun namun ada beberapa koperasi yang menawarkan pinjaman sehingga 25 tahun.

"Kita akan melakukan kajian secara menyeluruh mengenai kesan pensyaratan baharu oleh Bank Negara terhadap kira-kira 600 badan koperasi yang menawarkan pinjaman kepada anggota-anggota," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan 1,000 kotak kurma kepada Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Dalam Negeri) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Wahab untuk diagihkan kepada semua petugas agensi berita itu di Wisma Bernama.

Turut hadir Timbalan Presiden Angkasa Mutadho Bahri dan Naib Presiden Angkasa Kamarudin Ismail.

Abdul Fattah berkata Angkasa akan mengadakan perbincangan dengan gabungan koperasi terbabit pada Jumaat ini bagi mengkaji kesan syarat baharu Bank Negara itu terhadap prestasi dan operasi syarikat serta kedudukan kewangan masing-masing.

Pada 5 Julai lepas, Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan bank pusat itu menetapkan tempoh maksimum pinjaman peribadi selama 10 tahun manakala pembelian rumah 35 tahun untuk para penjawat awam.

Langkah itu bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini yang berada pada paras 83 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, Abdul Fattah menyarankan penubuhan koperasi keluarga dan kariah masjid dalam usaha mencapai sasaran 16,000 koperasi di seluruh negara menjelang 2020.

Sehingga kini, katanya terdapat 10,500 koperasi di bawah naungan Angkasa dengan keanggotaan lapan juta orang selain aset kira-kira RM100 bilion.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment