Saturday, July 13, 2013

Tekun Sasar Beri Dana Pinjaman Sehingga RM600 Juta Tahun Ini

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) menyasarkan untuk memberi dana pinjaman kepada para usahawan kecil sehingga RM600 juta pada tahun ini berbanding RM508 juta pada tahun lepas.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=962897
Published: July 13, 2013

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Tekun telah mengeluarkan pinjaman sekitar RM330 juta kepada 25,324 orang usahawan.

"Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan dana RM350 juta dan (ditambah) dana yang diperoleh dari bayaran balik dari pinjaman sebelum ini, akan digunakan semula, yang menjadikan dana yang sedia ada pada tahun ini berjumlah RM600 juta," katanya.

Beliau berkata demikian di sini Jumaat mengenai kejayaan Tekun Nasional menerima Anugerah Inovasi Perkhidmatan Kewangan Terbaik sempena Persidangan Kelestarian Kewangan Global 2013 pada 4 dan 5 Julai di Karlsruhe, Jerman.

Yang turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Abdul Rahim menjangkakan, untuk tempoh enam bulan seterusnya tahun ini, dana sekitar RM250 juta ini akan dipinjamkan kepada 20,000 usahawan.

Menurutnya, Tekun Nasional mempunyai kadar bayaran balik sehingga 85 peratus dan kadar itu adalah yang membanggakan bagi satu institusi kewangan pembangunan seperti agensi itu.

Mengenai perkembangan Tekun Nasional, Abdul Rahim berkata, dari 1998 hingga Jun tahun ini, institusi itu menyalurkan pinjaman berjumlah RM2.7 bilion kepada 262,497 orang usahawan.

"Jumlah dana yang diterima dari kerajaan berjumlah RM1.7 bilion, namun kita mampu menyalurkan pinjaman RM2.7 bilion, bermakna lebihan RM1 bilion adalah yang diperoleh dari dana bayaran balik," katanya.

Pada persidangan berkenaan, Tekun Nasional telah diberi penghormatan membuat pembentangan bertajuk Pembiayaan PKS bagi "Kelestarian Pembangunan - Contoh dari Tekun Nasional."

Persidangan, yang dihadiri 80 peserta dari seluruh dunia itu, telah membincangkan mengenai isu dan masalah yang dihadapi oleh institusi kewangan dalam melaksanakan tugas dan tanggung jawab bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada golongan sasar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment