Monday, July 1, 2013

Kerajaan negeri terus bantu IKS - Johor

PAGOH 29 Jun - Peruntukan RM2 juta setahun yang disediakan kerajaan negeri untuk Program Galakan Usahawan (PGU) masih belum mencapai sasaran kerana ramai pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tidak berkelayakan, sekali gus tidak dapat memanfaatkan dana itu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130630/wj_02/Kerajaan-negeri-terus-bantu-IKS
Published: July 01, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, bantuan atau pinjaman di bawah PGU yang terbahagi kepada Projek Industri Kecil (PIK) dan Skim Pinjaman Satu Mukim Satu Industri (SMSI) serta ketua-ketua jabatan berkaitan perlu turun padang membantu pengusaha IKS.

"Saya lihat bajet untuk bidang pertanian di bawah PGU adalah besar tetapi limpahannya tidak sampai kepada golongan sasar. Kalau tidak layak, (jabatan) cuba bantu dan bimbing mereka sehingga layak dan pastikan mereka mengikuti syarat atau peraturan ditetapkan. Johor menyalur peruntukan melalui Jabatan Pertanian negeri.

"PPK memang ada bantu mereka di kawasan dan kita harap usaha ini diteruskan lebih agresif dan proaktif lagi," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pagoh Kali Ke-34 2013 di Kompleks Bimbingan Usahawan Tani di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Saipolbahri Suib yang juga Pengerusi Ahli Jemaah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Pagoh, Abu Bakar Mohamad.

Bantuan PIK merupakan pemberian terus geran dalam bentuk bantuan mesin, peralatan, bengkel dan kelengkapan lain bagi pemohon yang menjalankan projek IKS menepati syarat garis panduan ditetapkan dan dipersetujui kerajaan negeri.

Pinjaman SMSI pula adalah dalam bentuk mudah tanpa cagaran (kecuali yang melebihi RM50,000) atau penjamin dan tidak dikenakan faedah, sebaliknya bayaran perkhidmatan sebanyak tiga peratus setahun oleh Agrobank berasaskan baki tahunan.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, pengusaha IKS harus dibantu keluar daripada kelompoknya sendiri untuk memasuki pasaran lebih besar serta komersial, sekali gus mampu bersaing dengan syarikat atau pengusaha yang sudah berjaya.

Selain itu, beliau mencadangkan pengusaha IKS supaya memasarkan produk mereka melalui internet, misalnya laman sosial seperti Facebook dan mereka akan dibantu sebanyak RM1,000 untuk tujuan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, Johor sebagai negeri pengeluar makanan utama perlu terus menjaga kualiti terutama aspek halal dan ciri-ciri keselamatannya yang memberikan jaminan tinggi, bukan sahaja untuk pasaran dalam negara tetapi eksport.

"Bagi menambah pengeluaran makanan, kita juga sudah mengenal pasti tanah-tanah di daerah Pagoh untuk tanaman kekal dan kontan. Kita boleh libatkan persatuan dan koperasi untuk menjadi penyumbang utama (bagi menjayakan hasrat ini)," katanya.

No comments:

Post a Comment