KOTA BHARU 8 Julai - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) memperuntukkan sebanyak RM110,000 bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) pada tahun ini bagi membantu peniaga kecil memajukan perniagaan masing-masing.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130709/wt_01/RM110000-bantu-peniaga-kecil
Published: July 09, 2013
RAMZI Ab. Rahman (dua dari kanan) menyerahkan plak Program
Peningkatan Pendapatan kepada penerima bantuan sebagai gimik
program tersebut di Kota Bharu.
Pengerusi Kesedar, Datuk Ramzi Ab. Rahman berkata, untuk tahun ini
Kesedar telah meluluskan 11 permohonan yang layak menerima bantuan
tersebut dengan setiap seorang mendapat RM10,000.
"Sebelas penerima itu adalah terdiri daripada pengusaha kedai runcit,
kedai jahit, salon, penjaja pasar malam dan lain-lain. Bantuan ini
sebenarnya merupakan suntikan modal untuk mengembangkan lagi perniagaan
mereka.
"Kita lihat mereka mempunyai potensi untuk memajukan setiap usaha
yang dilakukan, tetapi tidak mempunyai modal yang cukup maka, kita bagi
bantuan ini," katanya di sini hari ini.
Ramzi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong berkata,
setiap tahun Kesedar memperuntukkan bantuan ekonomi tanpa perlu dibayar
balik dan ia terbuka kepada semua usahawan yang berkelayakan.
"Bagaimanapun, kelulusan itu akan dibuat setelah kajian dilakukan
secara terperinci kerana kita tidak mahu bantuan ini disalah gunakan.
Sebab itu kita akan bagi kepada mereka yang betul-betul layak, yang
bersungguh-sungguh mahu buat kerja sahaja," katanya.
Tambahnya, kerajaan Persekutuan melalui Kesedar sentiasa merangka
pelan strategik dengan mengadakan pelbagai bentuk kemudahan dalam usaha
memajukan rakyat termasuk program PPP.
Beliau berharap, penerima terbabit akan memanfaatkan bantuan tersebut
dengan sebaik-baiknya bagi memantapkan sumber ekonomi masing-masing.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Syed Safian Sheikh
berjanji akan mengembangkan aktiviti perniagaan kedai runcit dan makanan
yang diusahakan secara kecil-kecilan sejak 15 tahun lalu dengan
mempelbagaikan produk di premis perniagaannya di kampung Gertak
Kangkung, Kuala Krai.
"Sebelum ini saya tidak mempunyai modal yang cukup untuk menambah lebih banyak barang yang menjadi keperluan penduduk sekitar.
"Jadi dengan bantuan serta sokongan Kesedar, saya dapat kembangkan
lagi perniagaan selain menambahkan pendapatan bagi menyara hidup
keluarga," katanya.
No comments:
Post a Comment