KOTA KINABALU, 21 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia (PKKM) cawangan Sabah akan mengadakan Promosi Kraf Aidilfitri
2013 di 1Borneo Hypermall, Likas dekat sini selama 11 hari bermula 25
Julai ini.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=964949
Published: July 21, 2013
Pengarahnya Mohd Latif Dirun berkata promosi itu bertujuan menggalakkan
dan memperkenalkan produk kraf tempatan sempena sambutan Hari Raya
Aidilfitri tidak lama lagi.
Selain itu, katanya, ia menjadi tempat pertemuan peniaga, pengusaha dan
pemborong kraf dan bidang lain yang menjurus kepada persiapan menyambut
Hari Raya.
"Kita mahu memperluaskan pasaran kraf berdasarkan kuasa membeli yang
tinggi di kalangan pengunjung pusat membeli-belah," katanya kepada
Bernama, di sini.
Mohd Latif berkata konsep promosi kraf itu adalah jualan terbuka yang
melibatkan aktiviti pameran, jualan produk kraf, demonstrasi dan
interaktif atau pendidikan kraf.
Beliau berkata seramai 40 usahawan, termasuk lapan pengusaha tekstil akan menyertai jualan kraf itu.
Katanya 32 pengusaha bidang kraf lain dari seluruh negara turut serta dalam ekspo jualan kraf itu.
Sebelum ini, Mohd Latif dipetik sebagai berkata bahawa PKKM cawangan
Sabah meraih hasil jualan kraf hampir RM30 juta melalui pelbagai program
promosi kraf di negeri ini sepanjang tahun lepas.
Pecahan hasil tersebut adalah RM26 juta daripada program Satu Daerah
Satu Industri (SDSI), kira-kira RM600 ribu daripada program promosi kraf
tahunan di Lintasan Deasoka, RM800 ribu daripada program promosi kraf
di 1Borneo, Likas dan selebihnya hasil jualan usahawan kecil-kecilan,
katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment