Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PP1Mtingkatekonomipenjaja/Article/index_html
Published: July 15, 2013
Peranan penjaja atau premis makanan bukan lagi sekadar untuk menikmati hidangan sebaliknya meliputi fungsi sosial seperti lokasi santai keluarga, perbincangan perniagaan, perkongsian minat sukan dan sebagainya.
Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Setiausaha Kerajaan Negeri, Kementerian Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Belia dan Sukan dan Kementerian Dalam Negeri.
Turut terbabit Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), sukarelawan IM4U, persatuan penduduk serta persatuan penjaja dan peniaga kecil.
Sektor swasta yang turut terbabit pula adalah Shell, Petronas, Giant Hipermarket, Alam Flora, Nestle Product Malaysia, NSK Trade City dan AEON yang sentiasa menyokong pelaksanaan aktiviti PP1M dari segi penajaan dan sukarelawan dalam setiap aktiviti dianjurkan PP1M.
Pembabitan sektor swasta ini sedikit sebanyak dapat menjimatkan kos pembiayaan bagi pelaksanaan program PP1M.
Bagi memastikan PP1M benar-benar mencapai objektif yang disasarkan iaitu untuk meningkatkan ekonomi golongan peniaga dan penjaja kecil, pelaksanaan PP1M adalah dengan mengambil kira keperluan dan kesesuaian pihak penjaja itu sendiri.
Sehubungan itu KPDNKK mengambil kira pandangan persatuan peniaga dan penjaja kecil dalam merangka aktiviti dan program yang bersesuaian.
Fokus utama adalah untuk memastikan pendapatan penjaja dan peniaga kecil dapat ditingkatkan melalui premis perniagaan yang bersih manakala produk makanan dan minuman yang dijual adalah berkhasiat.
Untuk itu, premis perniagaan penjaja seperti medan selera atau gerai perlu ditransformasikan menjadi sebuah pusat perniagaan yang serba lengkap dan selesa bukan saja kepada pelanggan, malah kepada peniaga itu sendiri.
Di bawah NBOS, kerja mentransformasi infrastruktur premis penjaja ini dilaksanakan secara gotong-royong.
Pendekatan ini bukan saja dapat menjimatkan kos pelaksanaan, malah dapat menggabungkan idea dan buah fikiran pihak yang berkepentingan khususnya penjaja sendiri.
Gabungan tenaga dan idea itu dapat membuahkan satu jalan penyelesaian bersepadu ke arah mentransformasi premis penjaja dengan menganjurkan aktiviti gotong-royong membaik pulih dan menaik taraf premis penjaja.
Melalui gotong-royong yang sudah dilaksanakan di 13 lokasi PP1M setakat ini, kerja membaik pulih dan menaik taraf premis dilaksanakan meliputi aktiviti pembersihan, mengecat premis perniagaan dan membaik pulih kemudahan di medan selera.
Aktiviti lain ialah kerja pendawaian elektrik, menggantikan kemudahan rosak, menyeragamkan papan tanda gerai dan membersihkan kawasan persekitaran termasuk longkang dan sistem perparitan.
Dari aspek kebersihan dan kesihatan, Kementerian Kesihatan memberi bimbingan kepada penjaja berhubung panduan penyediaan sajian makanan bersih dan berkhasiat di samping kebersihan persekitaran gerai.
Ia dapat menghindari persekitaran gerai busuk, pembiakan tikus dan lalat serta perparitan yang dipenuhi sampah. Cara demikian bukan saja dapat memberi imej lebih positif kepada golongan penjaja dan pengusaha premis makanan, malah meningkatkan taraf pendapatan mereka apabila premis penjaja kelihatan lebih meyakinkan untuk menarik pelanggan.
Daripada perspektif Persatuan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, pelaksanaan program gotong-royong PP1M di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampung Baru, Kuala Lumpur tahun lalu berjaya mengubah imej pusat penjaja itu kepada sebuah lokasi menjamu selera yang lebih berdaya maju dan meyakinkan.
Selepas lokasi itu menjadi lokasi sulung program gotong-royong PP1M, transformasi infrastruktur dan kemudahan di situ berjaya meningkatkan jumlah pengunjung setiap hari.
Ia bukan sekadar pengunjung dalam kalangan penduduk berhampiran, malah turut menarik minat pelancong asing kerana kedudukan medan selera itu di tengah ibu kota.
Program PP1M wajar diperluaskan lagi supaya bilangan penjaja dan peniaga yang mendapat manfaat daripadanya dapat dimaksimumkan. Dengan keahlian persatuan itu kira-kira 62,000 di sekitar Kuala Lumpur, usaha kerajaan melalui NBOS amat diharapkan untuk menaik taraf ekonomi golongan penjaja.
Lebih-lebih lagi, dengan pembabitan PBT dan KPDNKK selaku pihak yang berkait rapat dengan golongan penjaja dan peniaga kecil.
Sehingga Jun tahun ini, program PP1M dilaksanakan di 13 lokasi medan selera dan pusat penjaja di seluruh negara iaitu:
Pelaksanaan PP1M ini dijangka mampu menepati matlamat yang ditetapkan hasil kerjasama erat dan perancangan strategik semua pihak yang terbabit demi masa depan penjaja yang lebih terjamin.
Selain dapat mengeratkan kerjasama di kalangan agensi kerajaan melalui NBOS, ia juga mampu mendekatkan lagi komuniti penjaja dan peniaga dengan pihak KPDNKK selaku kementerian yang baru diberi tanggungjawab menguruskan hal-ehwal golongan peniaga itu.
Program PP1M akan terus diperkembangkan di masa depan dengan pembabitan lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan agensi kerajaan.
Di masa akan datang, ia bukan saja menyasarkan kepada perubahan prasarana penjaja untuk meningkatkan pendapatan mereka sebaliknya turut memfokuskan kepada transformasi minda golongan penjaja dan peniaga kecil supaya lebih berwawasan dan berpandangan jauh untuk memajukan kerjaya perniagaan mereka.
No comments:
Post a Comment