GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Sebanyak 17 premis makanan termasuk
beberapa kedai nasi kandar dan restoran vegetarian di bandar ini, diarah
tutup oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang Rabu, setelah didapati gagal
mematuhi peraturan kebersihan.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=960754
Published: July 04, 2013
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Unit Inspektorat dan Perundangan
Bahagian Kesihatan Awam jabatan itu, membuat pemantauan selama beberapa
hari di premis makanan berkenaan sebelum melakukan serbuan.
"Kesemua premis itu tidak mematuhi elemen penting kebersihan seperti
kehadiran serangga vektor dan amalan pengendalian makanan yang kotor,"
katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata sebanyak 32 premis diperiksa iaitu sembilan di Daerah
Seberang Perai Utara, Seberang Perai Timur (lima), Seberang Perai
Selatan (lima), Daerah Timur Laut (enam) dan tujuh di Daerah Barat Daya.
Katanya sehingga Mei tahun ini sebanyak 2,748 premis makanan telah
diperiksa dan 35 daripadanya diarah tutup mengikut Seksyen 11 Akta
Makanan 1983.
Lailanor berkata operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi
memastikan pengusaha makanan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab
menjaga kebersihan dan mengamalkan cara pengendalian makanan yang
selamat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri akan
melancarkan Ops Ramadan di bazar seluruh negeri ini termasuk di
rumah-rumah pengendali makanan bagi memastikan kebersihan semasa proses
penyediaan makanan.
"Kita turut akan ambil sampel makanan dan pantau cara penyediaannya
termasuk di rumah peniaga sekiranya terdapat aduan," katanya menambah
operasi di bazar Ramdan akan dilakukan lebih kerap.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment