Monday, July 1, 2013

Kerajaan negeri komited tingkatkan IKS - KK

KOTA KINABALU 30 Jun - Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membantu 15 peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang terpilih menyertai Program Pembangunan Usahawan IKS.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130701/wb_02/Kerajaan-negeri-komited-tingkatkan-IKS
Published: July 01, 2013

Selain itu, lima lagi syarikat tempatan yang berpotensi untuk memperoleh sijil halal tetapi masih belum memperolehnya turut dibantu menerusi dana kementerian berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan dan bantuan bagi memastikan sektor IKS di Sabah terus membangun dan berjaya.

''Kita sedar bahawa perusahaan IKS memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memberikan sumbangan signifikan kepada peningkatan sosioekonomi rakyat dari segi penyediaan peluang pekerjaan, perniagaan, menjana pendapatan dan melahirkan ramai usahawan berjaya," katanya dalam ucapan semasa perasmian Karnival SME Sabah 2013 di sini kelmarin.

Teks ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Radin Malleh. Yang turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian negeri, Datuk Bolkiah Ismail dan pengerusi penganjur, Datuk Hashim Paijan.

Sebanyak 270 buah gerai pameran dan kira-kira 300 syarikat IKS menyertai karnival anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan, SME Corp. Malaysia dan Koperasi IKS selama lima hari yang bermula semalam.

Penganjuran karnival itu yang sebelum ini dikenali sebagai Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), bertujuan menghargai sumbangan dan peranan perusahaan IKS dalam pembangunan negara.

Musa berkata, kerajaan menyambut baik pelbagai langkah dan inisiatif kementerian, agensi dan badan berkanun seperti SME Corp. yang banyak membantu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sabah.

Katanya, di peringkat negeri, sektor PKS turut diberikan tumpuan melalui program-program di bawah pelaksanaan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dirancang dan dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia).

''Saya percaya sektor PKS akan berkembang lebih pesat dengan pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kelak. Saya juga yakin dengan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan, kita akan mewujud dan mengembangkan prospek dan potensi PKS di negeri ini.

''Bagaimanapun, PKS di Sabah perlulah lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk berkualiti dan bertaraf antarabangsa yang kompetitif serta memenuhi kehendak dan piawaian antarabangsa," ujarnya.

No comments:

Post a Comment