Tuesday, July 9, 2013

Lesen Dibatal Jika Sewa Tapak Bazar Ramadan Kepada Peniaga Asing - Datuk Bandar

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak teragak-agak membatalkan lesen perniagaan rakyat tempatan yang membenarkan rakyat asing berniaga di lot Bazar Ramadan mereka.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961910
Published: July 09, 2013

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata pemilik lesen perlu berniaga sendiri dan tidak menyewakan lot mereka kepada orang lain, terutama rakyat asing.

"DBKL telah menambah baik sistem pemberian lesen kepada rakyat tempatan, jadi jika mereka menyewanya kepada orang lain, maka tidak adillah mereka kemudiannya bersungut dan menyalahkan DBKL pula," katanya kepada pemberita bersempena Mesyuarat Majlis Pembangunan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTDC) di Menara KL di sini Isnin.

Turut hadir ketua pegawai eksekutif Menara KL Tower Datuk Zuraidah Mohd Said dan pengerusi bersama KLTDC Tunku Dato Seri Iskandar Tunku Tan Sri Abdullah.

Mesyuarat itu dihadiri 28 anggota KLTDC dan ketua jabatan DBKL.

Beberapa inisiatif dilaksanakan hasil mesyuarat KLTDC sebelum ini, termasuk mengadakan makmal mini untuk memperkemas garis panduan operasi hotel bajet di Kuala Lumpur.

Makmal itu antara lain mengemukakan syor untuk memudahkan pengusaha hotel berkenaan mendapatkan lesen dan penarafan, mengadakan kaji selidik tentang kepuasan dan kemudahan pelancong asing dalam mendapatkan pengangkutan awam serta mengadakan promosi dan pemasaran strategik tentang Kuala Lumpur, termasuk oleh Tourism Malaysia.

Sementara itu, KLTDC melantik sebuah syarikat perunding strategi antarabangsa Roland Berger untuk membantu Kuala Lumpur menyediakan pelan induk pelancongannya bagi tempoh 2014-2025.

Pelan induk itu dijangka siap disediakan dalam masa enam bulan.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment