Friday, July 12, 2013

Koperasi TNB kini bina hotel

SEGAMAT 11 Julai - Koperasi Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menceburi bidang hospitaliti dan perhotelan dengan membina Hotel KopTown di sini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130712/ko_02/Koperasi-TNB-kini-bina-hotel
Published: July 12, 2013

Pengerusi Koperasi TNB, Raja Hang Tuah Raja Iskandar berkata, penglibatan terbaharu itu menambah cabang perniagaan yang diceburi pihaknya selepas perniagaan barangan elektrik, perkhidmatan pengembaraan dan pelancongan, perkhidmatan insurans kenderaan dan perniagaan kedai buku.

"Lembaga dan pengurusan merangka dan menjangkakan perniagaan yang diusahakan pada masa kini akan memberi pulangan yang tinggi kepada Koperasi pada masa depan. Ini adalah sebahagian usaha koperasi untuk meningkatkan daya saing dan memastikan kadar pulangan dividen yang terbaik kepada anggota.

"Selepas 62 tahun diwujudkan dan hingga tahun lalu, jumlah keanggotaan aktif koperasi melebihi 15,000 orang dengan modal pusingan berjumlah RM87.8 juta dan peningkatan ke tahap ini dalam tempoh 62 tahun adalah satu pencapaian yang amat besar," katanya pada majlis perasmian hotel berkenaan, di sini semalam.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Md. Jais Sarday selaku wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Segamat, A. Rahim Nin dan Pengurus Besar TNB negeri, Datuk Mohd. Aminuddin Mohd. Amin.

Raja Hang Tuah berkata, aset Koperasi TNB hingga kini berjumlah RM150 juta dan kejayaan itu berkait rapat dengan keamanan dan kestabilan yang diwujudkan oleh kerajaan bagi memberi ruang koperasi bergerak maju dalam iklim yang kondusif.

Hotel bertaraf dua bintang yang dilengkapi 81 buah bilik itu turut menyediakan dewan serbaguna dan seminar yang mampu menampung 120 orang dalam satu-satu masa.

Menurutnya, Koperasi TNB turut merancang membina lagi sebuah hotel dengan 60 bilik di Jalan Pantai Baru, berdekatan dengan Ibu Pejabat TNB di Kuala Lumpur yang dijangka dimulakan pada suku pertama tahun depan.

Sementara itu, Md. Jais berkata, Koperasi TNB berada pada landasan yang betul untuk menjayakan pelan perniagaan strategik untuk mencapai visi, misi dan objektif penubuhannya serta mendapatkan pendapatan lebih tinggi.

"Ini merupakan satu kejayaan yang baik ditunjukkan oleh Koperasi TNB dan perasmian Hotel KopTown ini menunjukkan penanda aras yang baik yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi di daerah Segamat.

"Saya berharap sektor pelancongan di Segamat dapat dipertingkatkan lagi kerana bidang perhotelan sangat sinonim dan rapat dengan sektor pelancongan dan seterusnya Hotel KopTown dapat memberi perkhidmatan yang bermutu," katanya.

No comments:

Post a Comment