Thursday, May 2, 2013

Tarik saham RM400j

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yakin dapat menarik jumlah saham terkumpul antara RM350 juta dan RM400 juta menjelang 2015 menerusi penubuhan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Bhd (KOPSYA).

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TariksahamRM400j/Article/index_html
Published: May 02, 2013

Presidennya, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, setakat ini terdapat 500 koperasi yang berdaftar menjadi ahli KOPSYA dengan jumlah saham terkumpul sebanyak RM25 juta dan pihaknya menyasarkan 2,000 koperasi akan turut serta menjelang akhir tahun ini.

Katanya, penubuhan KOPSYA pada Julai 2011 mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada koperasi seluruh negara dan ia mula mendapat perhatian oleh koperasi bersaiz besar.

“KOPSYA telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan operasi hampir sama dengan bank dan tetapi ia lebih kepada untuk membiayai semua koperasi yang memerlukan pembiayaan.

“Malah, ia dirujuk atas produk dan perkhidmatan inovatif serta terbaru dalam pengumpulan sumber untuk mendokong dan saling melengkapi koperasi anggota sehingga ke peringkat runcit dengan meliputi pembiayaan mikro,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, Angkasa juga komited bagi mencapai sasaran saham terkumpul minimum RM350 juta bagi melayakkan KOPSYA diiktiraf sebagai bank koperasi sekali gus mengukuhkan lagi gerakan koperasi dalam sektor kewangan dan kredit.

Mohd Ali berkata, melalui KOPSYA juga dilihat mampu memacukan pergerakan koperasi negara dan menjadi sumber biaya serta memperkasakan semua koperasi terutama koperasi kecil selain mempunyai keteguhan kewangan bagi aktiviti pembiayaan.

Beliau berkata, KOPSYA adalah yang pertama di negara ini dan 100 peratus untuk koperasi di mana ia menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan pada harga menarik, menepati keperluan pelanggan dan akhirnya meninggalkan impak yang bermakna kepada industri dan pasaran.

“Angkasa akan mengadakan kempen di seluruh negara untuk memberi penerangan lebih terperinci mengenai KOPSYA dengan bermula di negeri Selangor dan kami mahu memastikan KOPSYA ini berjaya dan diterima pakai oleh semua koperasi, supaya ahli tidak perlu bergantung kepada bank komersial.

“Syarat penyertaan bagi koperasi adalah mereka perlu mendaftar di bawah Angkasa terlebih dulu sebelum menjadi ahli KOPSYA dan dari segi saham minimum RM1,000 bagi koperasi kecil dan sehingga RM15 juta maksimum saham,” katanya.

Antara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi KOPSYA adalah pembiayaan peribadi (Al Tawarruq), perumahan (Musyarakah Mutanaqisah), pajak gadai (Al Rahn), simpanan dan pelaburan (Al Tawreed), pembiayaan koperasi (Al Tijari), skim deposit syariah akaun pelaburan Mudharabah Al Tathmir dan Al Wafi serta perkhidmatan tukaran wang Al-Sarf.

No comments:

Post a Comment