BESUT, 19 Mei (Bernama) -- Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yunus menyarankan pengamal media di
seluruh negara supaya mencontohi langkah Kelab Wartawan Terengganu
(KAWAT) menubuhkan koperasi demi faedah anggota mereka.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=950713
Published: May 20, 2013
Katanya Koperasi Media (KOMEDIA) yang ditubuhkan KAWAT merupakan
koperasi pertama yang diuruskan anggota media di negeri ini yang
dianggotai lebih 100 anggota berdaftar.
"Sudah sampai masanya wartawan mempunyai koperasi sendiri seperti yang
dilakukan oleh KAWAT agar ianya bersesuaian dengan langkah media yang
sentiasa memberikan penekanan terhadap penubuhan koperasi di negara
ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurutnya, penubuhan koperasi mampu memberi banyak faedah kepada
anggotanya sesuai dengan SKM yang mahukan lebih banyak koperasi
ditubuhkan bagi meningkatkan bilangan 10,000 koperasi yang kini
beroperasi di seluruh negara .
Sementara itu Presiden KAWAT, Ayob Mamat berkata KOMEDIA ditubuhkan
hasil buah fikiran anggotanya yang mahukan agar kelab menceburkan diri
dalam bidang tertentu bagi menambah pendapatan untuk menggerakkan
kegiatan anggota kelab itu yang terdiri daripada petugas media cetak
dan elektronik pelbagai agensi.
Katanya, pada masa ini, 111 daripada 136 anggota berdaftar KAWAT telah
menyertai KOMEDIA dengan sijil pendaftarannya dikeluarkan SKM semalam.
Sebagai permulaan, KOMEDIA akan menjadi perunding media dan pengurusan
majlis untuk mana-mana pihak yang berminat menganjurkan aktiviti yang
boleh menghasilkan pendapatan kepada persatuan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment