BESUT, 27 Mei (bernama) -- Koperasi di negara ini disaran memanfaatkan
Internet sebagai kaedah perniagaan yang kini didapati mencatatkan
keuntungan tahunan hampir RM100 juta.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=952185
Published: May 28, 2013
Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa)
Datuk Abdul Fatah Abdullah berkata penggunaan Internet sebagai medium
penjualan juga tidak memerlukan modal tinggi.
"Banyak laman web yang menjadikan perniagaan ini sebagai satu kaedah
perniagaan yang berjaya melalui web, portal, blogspot dan yang terkini
melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter," katanya ketika
berucap merasmikan penutupan Seminar Kesusahawan Koperasi Siswa IPTA dan
IPTS Dalam Dunia Global," di Demong Beach Resort di sini Isnin.
Katanya perniagaan secara dalam talian juga membolehkan akses ke seluruh dunia, sekali gus meningkatkan potensi untuk eksport.
Ketika bercakap kepada pemberita kemudian, Abdul Fatah meminta siswa
merebut peluang membuka koperasi dengan menubuhkan Koperasi Siswa
(Kosiswa).
Katanya penggabungan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pendidikan
Tinggi akan mempermudahkan aktiviti koperasi diteruskan dari peringkat
sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi.
Sekarang ini banyak pelajar sekolah menjadi anggota koperasi di
peringkat sekolah sahaja dan aktiviti itu terhenti apabila mereka
menyambung pelajaran di universiti dan perkara ini perlu diubah,
katanya.
"Sebagai bukti, terdapat 2,216 koperasi sekolah berjaya ditubuhkan
sehingga 2011 manakala dalam tempoh yang sama hanya 45 buah sahaja yang
mampu ditubuhkan oleh siswa melalui Kosiswa," katanya.
Beliau juga menggesa semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan
(IPTS) swasta menggalakkan penubuhan Kosiswa agar dapat membantu usaha
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mewujudkan 16,000 koperasi di
seluruh negara menjelang 2020.
"Bagi menghidupkan sesebuah koperasi, pihak pentadbir IPTA atau IPTS
diminta memberi keutamaan dalam pemberian kontrak seperti kontrak
kerja-kerja mendobi, cucian, mengecat atau penjualan makanan dan minuman
kepada Kosiswa supaya mereka dapat menambah pendapatan mereka dalam
menggerakan koperasi mereka untuk kebajikan ahli," kata Abdul Fatah.
Menurutnya SKM juga menyediakan peruntukan bagi membantu siswa menggerakan koperasi mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment