Monday, May 13, 2013

Sijil halal produk keluaran IKS

BINTULU 10 Mei - Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini mendapat sijil halal untuk produk keluaran masing-masing.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20130511/wb_01/Sijil-halal-produk-keluaran-IKS
Published: May 13, 2013


DAUD Abdul Rahman menyampaikan cek RM50,000 kepada 
wakil Madrasah Al-Quran Bintulu selepas menyempurnakan 
majlis penutupan Seminar Keusahawanan dan Kepenggunaan 
Halal Negeri Sarawak di Bintulu

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman berkata, setakat ini, hanya tiga usahawan IKS Sarawak memiliki sijil halal iaitu masing-masing di Kota Samarahan, Lundu dan Mukah.

Selain itu katanya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, peratusan peniaga bumiputera di Sarawak yang memiliki sijil halal masih rendah iaitu 25 peratus berbanding 75 peratus peniaga bukan bumiputera.

"Senario ini menunjukkan kesedaran mengenai pentingnya memiliki sijil dan logo halal dalam kalangan peniaga bumiputera masih rendah.

"Sementara itu, ramai usahawan IKS enggan memohon sijil halal sebagaimana yang dilakukan syarikat-syarikat besar kerana berpendapat tidak perlu berbuat demikian memandangkan perusahaan mereka hanya berskala kecil," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Keusahawanan dan Kepenggunaan Halal Negeri Sarawak 2013 di Universiti Putra Malaysia (UPM) cawangan Bintulu, di sini semalam.

Program sehari yang dihadiri sebanyak 400 peserta itu bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman penuh mengenai sijil halal, cara memohon serta kepentingannya dalam mengembangkan sesebuah perniagaan.

Mengulas lanjut, Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur negeri berkata, pihaknya menyasarkan membantu sekurang-kurangnya 10 usahawan IKS mendapatkan sijil halal menjelang hujung tahun ini.

"Diharap usahawan ini akan menjadi perintis dan contoh kepada rakan-rakan mereka yang lain untuk berbuat perkara sama pada masa depan," katanya.

No comments:

Post a Comment