PETALING JAYA 19 Mei - Koperasi Amanah Ikhtiar Bhd. (Koperasi AIM) milik Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disasarkan menjadi sebuah institusi kewangan yang mampu berperanan seperti Bank Rakyat.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130520/ko_01/AIM-sudah-cukup-matang
Published: May 20, 2013
Zabidah Ismail
Pengarah Urusan AIM, Datuk Zabidah Ismail yakin dalam usia menginjak 25 tahun, AIM sudah cukup matang untuk menjadi sebuah institusi kewangan yang dinamik.
Sepanjang 25 tahun AIM banyak bergantung kepada Kementerian Kewangan untuk dana mudah tetapi seiring dengan kematangan usia, AIM mahu mengurangkan kebergantungan itu.
Kita sedar kerajaan mempunyai peranan yang lebih besar, banyak lagi program yang perlu dilaksanakan olehnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Selain itu, menurut beliau, AIM mendapat banyak permintaan supaya organisasi itu memainkan peranan yang lebih besar dan tidak hanya tertumpu kepada model sekarang.
Berikutan itu, katanya, penubuhan Koperasi AIM membolehkannya mengembleng dana daripada para peminjam AIM yang digelar Sahabat, keluarga Sahabat dan kakitangan organisasi tersebut.
Jelasnya, sejak ditubuhkan tujuh bulan lalu, Koperasi AIM kini mempunyai 4,000 anggota dan jumlah itu diyakini mampu ditingkatkan kepada sejuta orang.
Sebab itu, kami sedang bekerja keras untuk mengajak semua 340,000 Sahabat AIM menganggotai Koperasi AIM," ujar beliau.
Mengulas lanjut, Zabidah berkata, penubuhan Koperasi AIM itu adalah satu proses transformasi AIM yang sebelum ini hanya menumpukan kepada usaha-usaha pembasmian kemiskinan dengan membentuk lebih ramai usahawan dalam kalangan kelompok tersebut.
Katanya, berdasarkan pengalaman selama ini, AIM kini cukup stabil dan mempunyai kekuatan untuk menawarkan perkhidmatan pembiayaan penuh bagi melengkapkan keperluan ekosistemnya.
Tambah beliau, dengan pengemblengan modal itu, Koperasi AIM akan beroperasi seperti koperasi lain yang mampu memberi pulangan dividen tahunan kepada para anggotanya.
Koperasi AIM juga bakal memberi faedah kepada Sahabat-Sahabat AIM kerana mereka boleh memasarkan produk di koperasi nanti," katanya.
Zabidah berkata, meskipun hanya menubuhkan sebuah koperasi di Semporna, Sabah, AIM mahu meningkatkan jumlah itu kepada 70 buah dalam tempoh dua tahun lagi.
No comments:
Post a Comment