JERANTUT 15 Mei - Penduduk di kawasan Ulu Tembeling di sini menubuhkan Koperasi Jeram Perahu Kampung Mat Daling Jerantut Berhad bagi mengukuhkan kegiatan ekonomi berasaskan tangkapan ikan air tawar.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130516/wt_05/Tubuh-koperasi-bantu-nelayan-sungai
Published: May 16, 2013
Wan Rokman
Ahli Lembaga Pengarahnya, Wan Rokman Wan Ngah berkata, koperasi berkenaan juga akan menyediakan khidmat nasihat serta mengawal tangkapan ikan air tawar di kawasan itu terutama spesies bernilai tinggi seperti kelah.
"Kelah merupakan spesies yang mempunyai nilai tinggi sehingga boleh mencecah RM300 sekilogram menyebabkan ramai pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk mendapatkannya termasuk menggunakan cara yang salah.
"Kami mempunyai 100 orang ahli yang akan membuat pengawasan mengenai pihak-pihak yang cuba menangkap kelah dan ikan air tawar yang lain menggunakan kaedah seperti bom dan tuba agar kami tidak hilang punca rezeki di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Menurutnya, anggota koperasi juga akan memantau sebarang kegiatan menjaring ikan dan memastikan tiada sebarang kegiatan haram dilakukan di sekitar perkampungan di kawasan taman negara itu.
"Sekiranya terdapat sebarang kegiatan penangkapan ikan secara haram, kami akan segera melaporkannya kepada Jabatan Perikanan dan pihak berkuasa yang lain," ujarnya.
Beliau memberitahu, langkah tersebut amat penting dalam usaha mengekang kegiatan haram agar masyarakat sedar kepentingan menjaga hidupan ikan air tawar dan alam sekitar.
Sementara itu, Bendahari koperasi, Wan Fadli Wan Mamat berkata, ahli-ahli juga akan menjaga kawasan tersebut siang dan malam agar tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk menceroboh kawasan periuk nasi mereka.
"Kawasan ini banyak ikan air tawar yang besar dan harga pasaran yang tinggi jadi kita tidak mahu spesies ikan air tawar di sini dibolot sesuka hati sehingga mengancam pembiakannya,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment