Thursday, May 16, 2013

LKTN pergiatkan kempen tingkat pengusaha kenaf

PASIR MAS 15 Mei - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) akan mempergiatkan kempen penanaman bahan mentah itu untuk menarik lebih ramai petani di negara ini mengusahakannya di kebun masing-masing.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130516/wt_06/LKTN-pergiatkan-kempen-tingkat-pengusaha-kenaf
Published: May 16, 2013

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Loman berkata, sebagai galakkan pihaknya akan memberikan input berjumlah RM2,385 dan khidmat nasihat kepada petani yang mengusahakan tanaman kenaf.

Menurutnya, para petani tidak perlu risau dengan pasaran kerana pihaknya akan membeli dan memasarkan bahan berkenaan pada harga yang menjanjikan keuntungan.

"Untuk tahun ini kita menyasarkan untuk meluaskan lagi tanaman kenaf kepada 2,500 hektar di seluruh negara berbanding sebelumnya iaitu 2,300 hektar.

"Jika sebelum ini, kenaf hanya ditanam di Kelantan dan Terengganu, untuk tahun 2013, akan diperluaskan ke Pahang, Selangor, Johor, Negeri Sembilan serta Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis mempromosikan tanaman berkenaan di Sekolah Kebangsaan Lati di sini kelmarin.

Ahmad memberitahu, pihak LKTN akan terus memperkasakan tanaman itu dengan menambah baik hasilnya menerusi penyelidikan dan bekalan benih-benih bermutu kepada para petani.

"Secara tidak langsung ia mampu meningkatkan lagi hasil sekali gus menjana pendapatan petani dengan lebih lumayan," ujarnya.

Tambahnya, mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tanaman tersebut boleh berkunjung terus ke pejabatnya yang terletak di Kubang Kerian.

No comments:

Post a Comment