Wednesday, August 29, 2012

Kopkejat bakal miliki bangunan sendiri

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20120827/wt_02/Kopkejat-bakal-miliki-bangunan-sendiri

Published: August 28, 2012

TANAH MERAH 26 Ogos - Koperasi Pekebun Getah Jajahan Tanah Merah dan Jeli Berhad (Kopkejat) bakal memiliki bangunan sendiri di daerah Jeli, dekat sini apabila Wisma Kopkejat yang menelan belanja lebih kurang RM2.5 juta akan dibina tidak lama lagi.

Pengurus Kopkejat, Wan Zin Wan Ahmad berkata, pihaknya telah membeli sebidang tanah di kawasan strategik iaitu bersebelahan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli, Gemang dekat sini untuk membina wisma tersebut.

"Wisma Kopkejat terdiri daripada dua blok bangunan empat tingkat dan ia akan menjadi salah satu mercu tanda baharu di daerah Jeli. Projek pembinaan Wisma Kopkejat akan dimulakan setelah kami mendapat pembiayaan daripada pihak kerajaan.

"Jangka masa pembinaan Wisma Kopkejat adalah selama lapan bulan. Kami berharap ia akan menjadi tempat berkumpul untuk para pekebun getah di Jeli selain membolehkan mereka menjalankan aktiviti bersama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Wan Zin berkata, Kopkejat yang ditubuhkan lebih 30 tahun lalu hasil inisiatif Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu kini mempunyai keahlian paling ramai dalam kalangan koperasi pekebun getah di negeri Kelantan iaitu sebanyak 8,500 orang.

"Urus niaga Kopkejat melebihi RM15 juta setiap tahun dan kami merupakan koperasi yang mencatat keuntungan tertinggi dalam kalangan koperasi pekebun getah di negeri ini sehingga kami mampu mengagihkan dividen antara lapan hingga 10 peratus setiap tahun kepada ahli.

"Kami membuat pelaburan dalam projek-projek yang sesuai dan dapat mendatangkan keuntungan kepada koperasi serta ahli antaranya termasuk mengendalikan stesen minyak, dan membeli aset hartanah seperti ruang kedai di Tanah Merah untuk tujuan sewaan," ujarnya

Katanya, Kopkejat juga membantu para pekebun kecil memasarkan hasil getah dan kelapa sawit mereka agar ia dapat dijual dengan harga yang lebih baik serta tidak dieksploitasi oleh pihak yang cuba mengambil keuntungan berlebihan.

"Koperasi berperanan membantu dan melindungi kepentingan serta kebajikan ahli koperasi dan pekebun kecil malah termasuk ahli keluarga mereka. Kami juga telah menubuhkan tabung kebajikan dan pendidikan untuk membantu ahli yang ditimpa kesusahan

"Sumbangan juga akan diberikan sekiranya anak-anak ahli Kopkejat berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kami juga menggalakkan generasi kedua pekebun kecil untuk menyertai Kopkejat agar keanggotaan dan modal saham koperasi akan bertambah," katanya.

No comments:

Post a Comment