KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Pelbagai kedai jenama 1Malaysia
terbukti dapat meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat kerana ia
menawarkan barangan berkualiti dengan harga lebih rendah.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=936061
Published: March 21, 2013
Pensyarah Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Shazali Abu
Mansor berkata kesannya rakyat boleh berjimat-cermat semasa berbelanja
dan mampu membeli keperluan tambahan lain hasil penjimatan tersebut.
Ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk yang
berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah kerana ia terbuka kepada
semua rakyat, katanya ketika mengulas mengenai Laporan Tahunan Program
Transformasi Negara (GTP) yang dibentangkan Perdana Menteri semalam.
Datuk Seri Najib Tun RAzak antara lain menyentuh mengenai kedai jenama
1Malaysia yang memberi alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan
keperluan harian dan perkhidmatan dengan kos secara puratanya 20 hingga
40 peratus lebih rendah dari harga pasaran.
Kedai tersebut termasuk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Ikan
Rakyat 1Malaysia (KIR1M), Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M), Kedai
Buku 1Malaysia (KB1M) dan Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M).
Sementara itu, beberapa peniaga dan pengguna kedai 1Malaysia
menyifatkan kedai di bawah jenama 1Malaysia adalah langkah transformasi
murni yang dilakukan kerajaan kepada rakyatnya.
Rata-rata mereka memberitahu Bernama, ini kerana keprihatinan kerajaan
jelas dibuktikan apabila kebajikan rakyat tidak pernah dilupai meskipun
kerajaan sentiasa berusaha keras menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Peniaga kain di ibu kota, S Sarala, 42, berkata kedai jenama 1Malaysia
jelas membuktikan betapa kerajaan begitu sensitif terhadap keperluan
rakyatnya tanpa rakyat yang terlebih dahulu perlu meminta-minta.
"Kedai di bawah jenama 1Malaysia begitu disyukuri rakyat. Siapa sangka
selepas kewujudan 'menu rakyat dan kedai rakyat' kerajaan buka pula
Kedai Kain Rakyat 1Malaysia.
"Saya sendiri sebagai peniaga kain sangat gembira apabila boleh
mendapatkan kain di KKR1M dengan harga yang begitu berpatutan. Ia jelas
usaha murni kerajaan yang berterusan ikhlas membantu rakyat," katanya.
Turut berkongsi pendapat, Chef Liza Zainol yang mengakui inisiatif
kerajaan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia itu jelas dirasainya kerana
boleh memperoleh barangan keperluan memasak dengan harga murah.
"Kepelbagaian barangan dengan harga barangan di KR1M yang sangat
berpatutan menjadikan ia tumpuan saya untuk membeli keperluan kelas
memasak. Sardin, telur, tepung, cili kering, rempah ratus semuanya ada
di situ," katanya.
Seorang suri rumah, Jadia Harun, 37, yang mempunyai empat anak yang
masih bersekolah berusia di antara 7 hingga 14 tahun pula berkata KB1M
khususnya, sangat meringankan bebanan beliau yang membeli buku untuk
keperluan anak-anak.
"Pekerjaan suami sebagai mekanik memerlukan kami sekeluarga berbelanja
secara berhemah. Justeru adanya KB1M ini sangat melegakan kami
sekeluarga," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment