KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Kerajaan menyasarkan 90 lagi Kedai
Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan beroperasi tahun ini selepas ia mendapat
sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=931123
Published: March 01, 2013
Ketua Unit Pengurusan dan Pelaksanaan, Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Fariszan Ahmad berkata
penambahan itu melibatkan 25 buah di Sabah, Sarawak (30), Labuan (dua)
manakala 33 premis lain di semenanjung.
"Sehingga kini kita ada 87 KR1M seluruh negara dan pada awal
pelaksanaanya, hanya terdapat 250 produk, tetapi dengan sambutan yang
amat baik, maka produk KR1M bertambah menjadi 405 ketika ini," katanya
kepada Bernama Radio24, di sini Khamis.
Beliau berkata kerajaan bercadang untuk memberi tumpuan di kawasan
bandar bagi pembinaan KR1M kerana fokus utamanya adalah untuk
mengurangkan bebanan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana di
kawasan bandar.
"Berikutan permintaan yang tinggi oleh rakyat selepas kita melancarkan
KR1M yang pertama di Stesen LRT Kelana Jaya pada 11 Jun 2011, ia perlu
diperluaskan sebagai satu gerakan nasional," katanya.
Fariszan berkata kerajaan juga menyasarkan 1,000 premis makanan
menyertai projek Menu Rakyat 1Malaysia MR1M tahun ini bagi menambah
bilangan sedia ada iaitu 3,572 premis yang menawarkan harga makanan yang
lebih murah kepada orang ramai.
"Selain daripada KR1M dan MR1M, kerajaan juga akan menambah bilangan
Kedai Kain Rakyat 1Malaysia KKR1M sebanyak 30 lagi menjadikannya 34 buah
menjelang akhir tahun ini," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata KPDNKK di setiap negeri dan daerah akan
memantau semua inisiatif itu bagi memastikannya berjalan seperti
dirancang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment