Friday, March 15, 2013

Terengganu Sasar 30 Lagi Koperasi Masjid Sebelum Akhir Tahun Ini

KUALA TERENGGANU, 14 Mac (Bernama) -- Terengganu menyasarkan 30 koperasi masjid baharu diwujudkan sebelum akhir tahun ini menerusi dasar "1 Masjid 1 Koperasi".

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=934561
Published: March 15, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Terengganu, Datuk Mohamed Awang Tera sejak dilancarkan pada tahun 2011, sebanyak 15 buah masjid telah mempunyai koperasi.

" Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang memberi insentif sebanyak RM10,000 kepada masjid yang menubuhkan koperasi melalui dasar itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Sinergi Transformasi Koperasi di Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di sini Khamis.

Mohamed berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu sentiasa membantu dari segi teknikal dan bimbingan bagi memastikan kejayaan koperasi masjid yang ditubuhkan itu.

"Walaupun perkembangannya agak perlahan, namun dengan pemberian insentif itu diharap mampu menyuntik semangat anggota pengurusan dan kariah masjid untuk melakukan jihad ekonomi melalui koperasi," katanya.

Seramai 150 anggota Lembaga Pengarah Koperasi dari 51 koperasi yang terletak di dalam wilayah Ketengah menyertai seminar dua hari itu yang bertujuan meningkatkan kefahaman anggota mengenai hala tuju koperasi dan peranan koperasi ke arah pembangunan ekonomi negeri.

Dalam perkembangan lain, Mohamed berkata gerakan koperasi di Terengganu diharap dapat menceburi empat bidang fokus utama yang boleh mendatangkan keuntungan besar, sekali gus memberi lebih banyak manfaat kepada anggota koperasi.

"Empat sektor utama itu ialah pertanian dan pengeluaran makanan terutama dalam industri kecil dan sederhana (IKS), minyak dan gas, pajak gadai kewangan Islam serta meneroka potensi perniagaan dalam bidang pelancongan seperti agensi pelancongan, inap desa dan hotel bajet," katanya.

Mohamed berkata sehingga kini, terdapat sebanyak 523 koperasi di seluruh Terengganu dan pihak SKM menyasarkan jumlah itu bertambah sehingga 600 menjelang akhir tahun ini. -- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment