Monday, March 18, 2013

Sasar aset RM13 bilion - Koperasi tentera

Kuala Lumpur: Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Bhd (Koperasi Tentera) menyasarkan jumlah aset perniagaannya mencecah RM13 bilion menjelang 2020 dipacu pembukaan Bank Koperasi Tentera yang dijangka mula beroperasi pada Januari 2015.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/articles/SasarasetRM13bilion/Article
Published: March 18, 2013

Pada masa ini, Koperasi Tentera mencatatkan nilai aset perniagaan RM2.3 bilion dengan memfokuskan kepada empat cabang perniagaannya utamanya iaitu pelaburan, insurans, pajak gadai Islam dan Ar-Rahnu KT dengan perolehan dicatatkan tahun lalu mencecah RM250 juta.

Pengerusinya Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad berkata, tahun ini permulaan agenda baru Koperasi Tentera mempersiapkan segala operasi dan pengurusannya mencapai taraf bank dan mencatatkan nilai aset mencecah RM2.4 bilion menjelang 2015.

Ini kerana, mengikut syarat dana ditetapkan bagi membuka sebuah bank, sesebuah koperasi perlu mempunyai nilai aset bersama berjumlah RM1.3 bilion dan setakat ini pihaknya sudah melebihi syarat pengumpulan dana.

“Kami sudah menyusun perancangan lebih agresif tahun ini dengan menyiapkan hampir 70 peratus urusan Koperasi Tentera mencapai sebuah bank yang mana pelbagai urusan di dalam pelan transformasi sudah dilaksanakan secara berperingkat sekali gus membantu untuk mencapai RM13 bilion aset perniagaan menjelang 2020.

“Antara pelan transformasi itu adalah mempersiapkan sistem perbankan yang setara dengan operasi sebuah bank, melengkapkan sistem laporan perakaunan dan kaedah transaksi kewangan perbankan serta menyediakan modal insan yang berkemampuan menguruskan hal ehwal perbankan,” katanya

Foto
CHE Hasni menandatangani plak ketika majlis perasmian Pejabat 
Koperasi Tentera dan Ar-Rahnu cawangan Sungai Besi.

Setakat ini, Koperasi Tentera mempunyai ahli seramai 746,000 orang dan sudah memulakan perniagaan membabitkan golongan bukan ahli koperasinya iaitu Ar-Rahnu KT.

Che Hasni berkata, Koperasi Tentera juga melaksanakan kerjasama dengan entiti asing di dalam segmen perniagaan pelaburannya di mana pihaknya mempunyai kepentingan bersama di dalam syarikat pelaburan asing terbabit.

“Kerjasama ini penting bagi membolehkan kami meningkatkan aset perniagaan dan meluaskan sumber pendapatan kerana dari segi pecahan perolehan, segmen pelaburan adalah penyumbang majoriti tahun lalu iaitu RM70 juta.

“Selain mengumpul nilai aset perniagaan tinggi, kami juga memfokuskan kepada modal insan yang boleh membantu kami menjadi sebuah bank dan bercadang untuk membuka peluang kepada golongan bukan ahli bekerjasama memajukan Bank Tentera apabila ia disiapkan pada masa depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment