Tuesday, January 1, 2013

Peniaga pasar tani diminta beri layanan istimewa

PONTIAN 30 Dis. - Para peniaga Pasar Tani Jalan Abas di sini diminta sentiasa memberikan layanan terbaik kepada pelanggan supaya perniagaan mereka mendapat sambutan berterusan daripada orang ramai.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121231/wj_01/Peniaga-pasar-tani-diminta-beri-layanan-istimewa
Published: January 01, 2013



Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Tani Pontian, Mohd. Zamri Kadimin, 38, berkata, identiti pasar tani iaitu 'Senyum, Bersih dan Halal' perlu dihayati oleh semua peniaga supaya pelanggan sentiasa berpuas hati dengan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan.

"Hubungan yang baik dan mesra antara peniaga dan pengguna perlu dikekalkan supaya orang ramai terus mendapatkan produk yang diperlukan dengan harga yang lebih murah berbanding di tempat lain," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kempen Senyum di Pasar Tani Pontian oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Pontian, Daud Md. Noh, Penyelaras Pasar Tani Pontian, Adam Abas dan Pegawai Perikanan Daerah Pontian, Sidek Adnan.

Mohd. Zamri berkata, kini terdapat seramai 43 peniaga yang menjual pelbagai jenis barangan seperti sayur-sayuran, buah- buahan, daging, ayam, ikan dan produk industri kecil dan sederhana (IKS) di pasar tani tersebut.

Menurutnya, secara purata jualan peniaga di pasar tani itu dianggarkan antara RM1.8 juta hingga RM2 juta setahun yang menunjukkan sambutan yang mengalakkan daripada orang ramai.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pasar tani yang diwujudkan pada 1985 telah berkembang pesat dengan wujudnya Pasar Tani Mega, Pasar Tani Desaraya, Pasar Tani Borong, Pasar Tani Kekal dan Pasar Tani Bunga.

Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan kerajaan mengambil berat tentang sektor pertanian sejajar dengan Dasar Pertanian Negara bagi meningkatkan taraf hidup golongan petani.

"Peniaga sebenarnya merupakan usahawan tani sejajar dengan konsep 'Pertanian adalah Perniagaan' sekali gus menjadi punca pendapatan yang lumayan kepada mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment