KUALA LUMPUR 13 Jan. - Produk-produk koperasi Malaysia akan mula memasuki pasaran dunia mulai tahun ini melalui kerjasama erat antara Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dengan International Cooperative Aliiance (ICA) bagi Rantau Asia dan Pasifik.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130114/ek_02/Produk-koperasi-negara-di-pasaran-dunia
Published: January 14, 2013
Melalui kerjasama strategik antara Angkasa dengan badan puncak koperasi sedunia ICA itu, Angkasa akan bertindak sebagai hab untuk menyalurkan produk-produk koperasi keluaran Malaysia ke pasaran rantau Asia Pasifik.
Presiden Angkasa, Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, melalui cara itu, ia akan mewujudkan rangkaian antara koperasi Malaysia dengan negara-negara besar seperti China, Indonesia dan 25 buah negara lain yang telah mempunyai kekuatan dalam gerakan koperasi.
"Melalui perjanjian ini produk koperasi negara kita akan dipasarkan ke peringkat antarabangsa.
"Ia akan membantu koperasi dalam negara memasuki pasaran global kerana kita merasakan koperasi kecil tidak mampu untuk mengeksport produk mereka," katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa ICA berkata, bagi menjayakan program ini, pejabat ICA Asia Pasifik akan berpindah ke Kuala Lumpur dan ia telah dipersetujui dalam persidangan ICA-AP yang bersidang di Kobe, Jepun, baru-baru ini.
Katanya, untuk itu, Angkasa akan memberikan komitmen dengan memberi ruang pejabat yang akan dikendalikan oleh empat pegawai urusniaga dari China, Malaysia dan Korea.
"Pejabat yang terletak di Bangunan KOPSYA Kelana Jaya ini akan menjadi hab perniagaan atau penyedia produk yang dikeluarkan oleh negara ini untuk disalurkan ke negara anggota ICA.
"Bagaimanapun bagi menyahut seruan kerajaan, syarat untuk produk ini untuk dieksport ialah ia semestinya jenis barangan halal.
"Kita mungkin akan fokus kepada produk makanan halal Angkasa Foods yang kini menghasilkan makanan berasaskan daging, makanan sejuk beku yang kita sasarkan jualan buat permulaan sebanyak RM5 juta setahun," katanya.
Mohd. Ali berkata, kelemahan produk-produk koperasi kini adalah kerana ia tidak mempunyai fokus pasran antarabangsa.
"Oleh itu, Angkasa akan membantu mereka untuk mengeksport produk-produk itu," katanya.
No comments:
Post a Comment