KUALA LUMPUR 30 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mencadangkan penubuhan koperasi-koperasi kariah masjid di seluruh dunia sebagai wadah penyatuan umat Islam serta mengembleng kekuatan ekonomi mereka.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20121231/ko_01/Koperasi-masjid-di-seluruh-dunia
Published: December 31, 2012
Presiden Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mohd Ali Baharum berkata, perkara itu akan diketengahkan di persidangan International Cooperative Alliance (ICA), badan puncak menguruskan hal koperasi sedunia.
Katanya, Malaysia berkelayakan untuk mencadangkan gerakan koperasi itu kerana negara telah menubuhkan Koperasi Kariah Masjid yang kini menampakkan kejayaan.
"Kita telah fikirkan untuk satukan dunia Islam supaya bernaung di bawah penubuhan Koperasi Kariah Masjid dan ia boleh diwujudkan melalui ICA," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Kelana Jaya di sini.
Katanya, dunia boleh mencontohi pengalaman Malaysia dalam penubuhan Koperasi Kariah Masjid kerana ia bukan sahaja mampu memakmurkan institusi ibadah itu, malah turut menyatupadukan umat Islam sekitarnya.
Angkasa mempunyai rancangan menubuhkan 6,600 koperasi melalui gerakan penubuhan Koperasi Kariah Masjid di seluruh negara, katanya.
Dengan bilangan masjid sebanyak 6,600 buah di seluruh negara, usaha menggerakkan penubuhan Koperasi Kariah Masjid dapat membantu pembangunan ekonomi anggota koperasi dan masjid.
"Di samping itu, kini terdapat begitu banyak harta-harta wakaf diserahkan untuk ditadbir pihak masjid tetapi tidak dapat dibangunkan kerana masjid tiada sumber kewangan mencukupi untuk membangunkan sendiri harta tersebut," tambahnya.
Katanya, sebagai harta wakaf, pihak bank pula tidak menerima harta tersebut sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman.
Beliau berkata, selain itu, pihak jawatankuasa masjid juga didapati kurang menggerakkan aktiviti pembangunan harta tersebut.
"Angkasa berpendapat sudah sampai masanya institusi koperasi dijadikan sebagai instrumen yang boleh membangun dan menguruskan secara profesional pembangunan harta wakaf yang ditadbir oleh masjid di seluruh dunia," kata Mohd. Ali.
Beliau juga berkata, selain Koperasi Kariah Masjid, Koperasi Sekolah juga turut dicadang untuk ditubuhkan sebagai produk koperasi di peringkat antarabangsa.
"Kita juga bercadang untuk memperluaskan lagi penubuhan Kosiswa dengan turut dianggotai oleh siswa dan siswi institusi pengajian tinggi (IPT), berbanding masa kini yang hanya ditubuhkan oleh kakitangan dan dianggotai oleh pegawai universiti," katanya.
Beliau berkata, Angkasa kini telah meminda undang-undang kecilnya supaya boleh melaksanakan apa jua jenis perniagaan asalkan dapat persetujuan mesyuarat agung dan tidak berlawanan dengan perniagaan koperasi ahlinya.
Mohd juga Ali berkata, Angkasa telah menubuhkan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) yang menawarkan Skim Musyarakah Mutanaqisah (Skim MM) kepada golongan belia untuk memiliki rumah.
No comments:
Post a Comment