Saturday, December 22, 2012

Kemas bangunkan luar bandar perlu dihargai

LABIS 21 Dis. - Masyarakat luar bandar diminta menghargai sumbangan dan peranan yang dimainkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) melalui pelbagai program bermula daripada pembangunan pendidikan peringkat prasekolah sehingga latihan vokasional dan perniagaan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121222/wj_02/Kemas-bangunkan-luar-bandar-perlu-dihargai
Published: December 22, 2012


MOHD. Azahar Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan 
pakaian beragam kanak-kanak Program Kemas Bersama Rakyat Peringkat 
Parlimen Labis di Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Labis, Johor, kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, Kemas kini mencapai usia lebih 40 tahun sejak ia kali pertama diperkenalkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk pembangunan luar bandar pada sekitar 1970-an.

"Usaha gigih Kemas dan kakitangannya perlu dihargai kerana agensi kerajaan ini bertanggungjawab dalam memastikan masyarakat luar bandar menerima arus perubahan secara progresif selain berusaha meningkatkan tahap ekonomi mereka melalui pelbagai program yang diwujudkan.

"Antara program yang dilaksanakan ialah Kelas Ekonomi Rumahtangga (ERT), Khutub Khanah Desa (KDU), Kelas Latihan Kerja (KLK) dan Rancangan Desa Usaha (RDU) yang membawa perubahan besar terhadap pembangunan masyarakat luar bandar," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Kemas Bersama Masyarakat Peringkat Parlimen Labis di Pekan Air Panas.

Kata Mohd. Azahar, kesinambungan pemerintahan adalah penting bagi memastikan Kemas tidak berkubur dan terus memberikan sumbangannya kepada masyarakat luar bandar kerana kesilapan dalam membuat pilihan berkemungkinan besar membawa kesan kepada agensi tersebut.

Menurutnya, masyarakat luar bandar sendiri yang akan mengalami kerugian kerana nasib mereka tidak lagi dapat dibela melalui pelbagai program yang sedang dan akan diusahakan oleh Kemas.

Sementara itu, Penyelia Kanan Kemas Parlimen Labis, Miskinat Turat berkata, antara matlamat penganjuran program adalah untuk mengeratkan hubungan masyarakat dengan agensi tersebut selain memastikan dasar kerajaan dapat disampaikan terus kepada golongan sasar.

"Ini selari dengan hasrat pucuk pimpinan yang mahu budaya turun padang diamalkan oleh pemimpin dan agensi kerajaan sebagai satu langkah yang dapat memastikan maklumat disalurkan terus ke peringkat akar umbi.

"Pelbagai acara diadakan dengan penglibatan semua lapisan masyarakat dari 10 buah kampung di dalam Parlimen Labis seperti senamrobik, pertandingan mewarna, sukaneka dan demonstrasi masakan. Turut serta dalam program sehari ini adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

No comments:

Post a Comment