Tuesday, December 18, 2012

IKS disaran jadikan 'Agromas' jenama tunggal produk

KUALA SELANGOR -  Industri Kecil dan Sederhana (IKS) disaran supaya menjadikan 'Agromas' yang diperkenalkan Fama sebagai jenama produk mereka bagi memudahkan usaha promosi terutamanya di luar negara.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/iks-disaran-jadikan-agromas-jenama-tunggal-produk-1.113453
Published: December 18, 2012

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=916012
Published: December 18, 2012

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar ketika menyarankan perkara itu berkata ketika kementeriannya mengadakan pameran produk IKS di Morocco dan Romania baru-baru ini, pihak media di sana menghadapi masalah untuk mempromosikan produk Malaysia kerana terlalu banyak jenama.

Noh berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Memproses Makanan Fama di Sungai Terap di sini semalam.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 64 produk di bawah jenama Agromas dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 250 produk menjelang 2020.

Katanya, peningkatan itu bermakna lebih banyak peluang terbuka kepada para petani untuk membekalkan hasil tanaman mereka untuk diproses sebagai produk pertanian bernilai tambah.

Noh berkata, antara hasil pertanian yang masih kekurangan daripada segi bekalan ialah ubi kayu yang amat diperlukan oleh IKS dalam perusahaan membuat kerepek ubi.

"Bekalan ubi kayu terpaksa diimport dari Indonesia tapi malangnya ubi yang tiba tidak dapat diproses kerana tidak menepati standard yang diperlukan," katanya.

Noh juga meminta Fama supaya menambah pusat memproses makanan seperti di Sungai Terap yang menyediakan kemudahan dan peralatan pemprosesan, pembungkusan dan pelabelan bagi meningkatkan daya saing hasil-hasil pertanian dan produk usahawan pengusaha kecil dan sederhana.

Katanya, buat masa ini terdapat dua lagi pusat pemprosesan sedemikian iaitu di Banting Selangor dan Rengit Johor.

Pusat pemprosesan FAMA di Sungai Terap mampu memproses satu tan kerepek ubi dan satu tan produk rempah-ratus sebulan. - Bernama

No comments:

Post a Comment