Saturday, December 1, 2012

Koperasi petani dibantu jalankan projek tanaman sayur

TASEK GELUGOR 29 Nov. - Koperasi Petani Pulau Pinang Berhad (KPPPB) di sini menerima bantuan sebanyak RM30,000 bagi membiayai kos infrastruktur untuk projek tanaman sayuran dan buah-buahan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121130/wu_02/Koperasi-petani-dibantu-jalankan-projek-tanaman-sayur
Published: November 30, 2012

Bantuan pembiayaan itu disampaikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe selepas mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Lian Hoe berkata, penubuhan koperasi petani seperti itu sangat digalakkan kerana dapat membantu meningkatkan jumlah pengeluaran hasil pertanian negara.

"Kementerian menggalakkan lebih banyak koperasi menceburi bidang pengeluaran hasil tani dan melebarkan fokus bukan sahaja untuk pasaran dalam negara semata-mata.

"Kita juga mencadangkan supaya koperasi petani mengambil inisiatif menubuhkan gerai-gerai jualan hasil pertanian bagi mengurangkan penglibatan orang tengah dalam pemasaran hasil pertanian," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pembangunan kepada KPPPB di Taman Sayuran Perda di sini.

Lian Hoe turut mengadakan lawatan bagi meninjau tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan yang dimajukan oleh koperasi tersebut.

Koperasi itu memulakan aktiviti pertanian sejak pertengahan tahun lalu dengan menyewa tanah seluas 20 hektar daripada Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. untuk diusahakan oleh 88 anggota koperasi itu.

Antara tanaman yang diusahakan adalah sayuran-sayuran, betik, pisang, markisa dan tembikai.

No comments:

Post a Comment