Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=712544
Published: November 30, 2012
Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Tan Lian Hoe berkata skim perlidungan insurans berkelompok bagi peniaga dan penjaja yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Belanjawan 2013 pada Sept lalu, akan dilaksana Januari ini.
"Setakat ini lebih 20,000 peniaga dan penjaja telah berdaftar, dan mereka yang belum lagi berdaftar segeralah berbuat demikian dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Semenanjung Malaysia atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Sabah dan Sarawak.
"Ini kerana mana-mana peniaga yang berdaftar dengan kedua-dua entiti itu secara automatik dilindungi oleh insurans berkelompok berkenaan.
"Sebanyak RM16 juta setahun diperuntukkan untuk skim insurans berkenaan," katanya semasa jerayawara P1MPIN dengan penjaja dan peniaga kecil Pulau Pinang di sini Khamis.
Skim perlindungan insurans itu bertujuan memberikan perlindungan kepada penjaja dan peniaga kecil dan ia meliputi bayaran kos perubatan kepada mereka yang terbabit dalam kemalangan.
Sementara itu, Tan turut menyarankan penjaja dan peniaga kecil agar menyertai persatuan supaya memudahkan mereka untuk berurusan dengan pihak tertentu terutamanya kerajaan.
Beliau berkata kerajaan turut menyediakan peruntukan dalam bentuk geran sebanyak RM4 juta untuk melaksanakan program dan aktiviti persatuan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara mulai tahun depan.
Terdahulu dalam lawatan kerja sehari Tan di Pulau Pinang, beliau mengadakan lawatan ke kebun sayur dan buah-buahan Koperasi Petani Pulau Pinang Berhad di Ara Kuda, dekat sini.
Pada lawatan itu beliau turut mengumumkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan bantuan RM30,000 kepada koperasi berkenaan.
"Selain itu, kita juga bersedia mempertimbangkan pinjaman tanpa cagaran sehingga RM50,000 daripada Tabung Modal Pusingan (TMP) sebagai modal pusingan untuk membiayai perbelanjaan projek koperasi," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment