Sunday, December 23, 2012

205 Peniaga Dikompaun RM169,000 Sejak Awal Tahun Ini - KPDNKK Selangor

SHAH ALAM, 23 Dis (Bernama) -- Seramai 205 peniaga di Selangor dikenakan kompaun berjumlah RM169,000 kerana gagal mematuhi peraturan pelaksanaan kawalan harga oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak awal tahun ini sehingga 1 Dis lepas.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=917235
Published: December 23, 2012

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Selangor Othman Nawang berkata dalam operasi penguatkuasaan sepanjang tempoh itu, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 63 pasar basah dengan nilai rampasan sebanyak RM37,000.

"Kebanyakan mereka dikompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak meletakkan tanda harga jelas dan menggunakan alat timbang tamat tempoh," katanya kepada pemberita selepas Operasi Pemantauan Harga Barang sempena musim perayaan Krismas di Pasar Raya Tesco di sini, hari ini.

KPDNKK menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 13 jenis barangan harga terkawal untuk dikuatkuasakan mengikut Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2012 bermula hari ini hingga 27 Dis depan.

Mengulas mengenai pemeriksaan hari ini, Othman berkata pihaknya berpuas hati dengan pemeriksaan di pasar raya itu kerana kebanyakan harga barangan terkawal seperti ayam standard, daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, lada benggala hijau, telur dan ayam belanda import dijual pada harga jauh lebih rendah daripada yang ditetapkan oleh KPDNKK.

"Sebagai contoh, bagi harga ayam belanda import, harga ditetapkan kementerian ialah RM23 sekilogram, tapi pasar raya ini jual sekitar RM22.50," katanya.

Othman berkata pihaknya akan menjalankan pemantauan lebih kerap di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani.

Peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga jelas bagi barangan yang dikawal hari ini akan diberi nasihat agar tidak mengulangi kesalahan itu dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan memandangkan hari ini adalah hari pertama skim kawalan harga bermula di seluruh negara, katanya.

Menurutnya pihaknya turut mengesan 213 peniaga melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang melibatkan nilai rampasan RM54,000 sepanjang 2011.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment