KUALA TERENGGANU, 26 Dis (Bernama) -- Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT)
mencatat sejarah negara ini apabila muncul sebagai kelab media pertama
yang menubuhkan koperasi bagi menjana pendapatan tambahan kepada
anggotanya.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=917649
Published: December 27, 2012
Koperasi Media Terengganu Berhad yang akan dirasmikan pada Januari 2013
ini menyasarkan kira-kira 300 petugas media negeri itu yang menjadi ahli
akan menganggotai koperasi tersebut.
Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat), Ayob Mamat berkata koperasi
berkenaan akan menawarkan pembelian saham maksimum lima unit bagi setiap
ahli koperasi dengan nilai RM100 seunit.
Katanya, fokus utama perniagaan koperasi itu ialah penerbitan dan
pengurusan acara memandangkan Kawat mempunyai kepakaran dalam bidang
itu.
"Sasaran kita untuk modal permulaan ialah sebanyak RM300,000 dan
menjelang akhir tahun 2013 pula, kita sasarkan pendapatan koperasi
mencecah RM500,000 menerusi dua cabang perniagaan utama itu," katanya
kepada Bernama.
Kewujudan koperasi itu membuktikan kesungguhan Kawat untuk menjadi
sebuah kelab yang mampu berdikari, sekali gus menjaga kebajikan dan
menjana pendapatan tambahan kepada anggota melalui pengagihan dividen
setiap akhir tahun.
"Selepas lebih 32 tahun ditubuhkan, sudah sampai masanya Kawat mempunyai
sesuatu yang boleh menjadi masa depan pendapatannya, tetapi pada masa
sama kami masih mengharapkan bantuan pelbagai pihak.
"Kawat juga mempunyai rangkaian rakan strategik yang akan bertindak
sebagai rakan dalam menjayakan aktiviti perniagaan koperasi itu nanti,"
katanya.
Mulai 2013 juga, imbuhan kebajikan untuk anggota Kawat akan dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini.
Setiap anggota Kawat juga akan menerima elaun khas perubatan RM200
setahun manakala anak-anak anggota yang cemerlang dalam peperiksaan
utama juga akan menerima imbuhan.
Ayob berkata Kawat juga berhasrat membiayai dua orang anggotanya
mengerjakan ibadah umrah setiap tahun sebagai menghargai jasa pengamal
media dalam menjalankan tugas mereka selama ini.
"Kawat mahu menjadi sebuah kelab yang maju dan menjadi kebanggaan
pengamal media di negara ini di mana golongan wartawan juga mampu
menjalankan aktiviti perniagaan."
"Ia juga membuktikan Kawat telah menyahut seruan kerajaan yang mahu
meningkatkan taraf ekonomi rakyat negara ini dengan menyertai koperasi
kerana ia adalah antara medium yang menguntungkan setiap anggotanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment