Published: May 10, 2012
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggariskan beberapa strategi dalam usaha meningkatkan pendapatan koperasi di Malaysia termasuk menjalankan perniagaan yang diusahakan atas nama koperasi berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha berkenaan kini dianggap penting bagi meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini hanya sekitar dua peratus.
“Kita menetapkan menjelang 2015, sumbangan koperasi mencecah lima peratus dan meningkat kepada 10 peratus pada 2020.
“Namun, apa yang dilihat kini peratusan sumbangan sektor ini masih rendah sedangkan tempoh untuk ke tahun 2020 hanya tinggal lapan tahun lagi,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Koperasi 2012 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, antara cara lain yang boleh diguna pakai koperasi adalah dengan menjalin kerjasama antara koperasi dan syarikat korporat bagi mendapatkan dana dan menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan.
“Selain itu, koperasi mikro turut boleh bekerjasama dengan koperasi besar melalui program mentor mentee dan memilih perniagaan yang sesuai untuk jangka masa panjang,” katanya.
Menurutnya, pihaknya sudah melihat beberapa koperasi yang mengusahakan stesen minyak dan ia memberi pulangan baik untuk jangka masa panjang.
“Semua koperasi seharusnya mengambil inisiatif seumpama itu untuk kekal berdaya saing dan menjamin kemudahan di kalangan ahli,” katanya.
Ia juga dijangka membabitkan usaha mengurangkan jumlah koperasi mikro.
No comments:
Post a Comment