KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggesa Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM) melakukan perubahan agar badan itu dapat menjadi sektor
utama negara pada masa depan.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=958378
Published: Jun 24, 2013
Menterinya, Datuk Hasan Malek berkata perubahan itu boleh dilakukan
dengan menyerlahkan kecemerlangan yang ada pada setiap warganya dalam
perkhidmatan mereka kepada rakyat.
"Mereka (warga SKM) bukan setakat perlu menumpukan kepada pemantauan
dan khidmat susulan program semata-mata, malah turut perlu berusaha
untuk turun padang memahami keperluan dan kehendak rakyat.
"Berbanding dengan Amerika Syarikat, yang menjadikan organisasi
koperasi mereka sebagai sektor utama, walaupun SKM merupakan sektor
ketiga di negara ini, namun saya yakin kecemerlangan SKM akan dinaikkan
menjadi sektor utama pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SKM hari ini.
Hasan juga berkata warga SKM perlu bergerak pantas dan berusaha secara
luar biasa untuk mempertingkat perkhidmatan serta meneruskan
kecemerlangan anggotanya.
"Mereka juga perlu menerapkan semangat bekerjasama dan meningkatkan
jati diri di kalangan mereka bagi memastikan kecemerlangan SKM dapat
dikekalkan dan dapat menyokong aspirasi kerajaan mensejahterakan
rakyat," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment