KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Industri francais tempatan digesa
supaya menerapkan elemen kreatif dan inovatif dalam penghasilan produk
masing-masing bagi memastikan kesinambungan usaha niaga mereka setanding
jenama antarabangsa.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130612/ko_02/Industri-francais-perlu-inovatif
Published: Jun 12, 2013
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=955380
Published: Jun 12, 2013
Setiausaha Agung Persatuan Francais Malaysia (MFA) Muhamad Shukri Salleh
berkata pemilik perniagaan francais di negara ini perlu menyedari
bahawa mereka sentiasa berdepan dengan pesaing jenama luar negara.
Menyedari perkembangan produk francais yang mudah popular dalam
kalangan pengguna, elemen kreativiti ini penting untuk terus menarik
minat pengguna, sekali gus dapat mengekalkan produk di pasaran, katanya
ketika ditemu bual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama
Radio24.
"Kita tidak boleh bergantung kepada produk luar sahaja. Sebagai contoh,
hari ini kita berbangga sebab ada 100 jenama dari luar yang berjaya di
Malaysia, namun kurang pula produk tempatan yang boleh dibanggakan di
negara sendiri. Dalam tempoh jangka masa panjang, akan berlakunya
penjajahan ekonomi tanpa disedari," katanya.
Menurut Muhamad Shukri, sememangnya tidak dinafikan masyarakat di
negara ini lebih memilih jenama dari negara luar dan ini dianggap
sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi penggiat industri francais
tempatan.
Beliau yakin menerusi inovasi yang bakal dilakukan oleh pemilik
perniagaan francais tempatan, usaha itu mampu memastikan perniagaan
mereka kekal relevan, bukan sahaja di negara ini malah di peringkat
antarabangsa.
Sehingga kini, lebih 200 jenama francais asing berdaftar di Malaysia,
berbanding 46 francaisor tempatan yang berjaya mengembangkan jenama
francais mereka di 50 negara.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment