Sunday, June 23, 2013

Kopeks Disaran Tingkat Urus Niaga, Pendapatan Bagi Capai Sasaran DKN

KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Koperasi Pekerja-pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) disaran meningkatkan urus niaga dan pendapatan bagi mencapai sasaran Dasar Koperasi Negara (DKN).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=958084
Published: Jun 23, 2013

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata, ini selaras dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk mencapai status negara maju, di mana sektor koperasi perlu meningkatkan pertumbuhan sebanyak lima kali ganda dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 0.8 peratus kepada 5.0 peratus bagi mencapai sumbangan 10 peratus dalam KDNK pada 2020.

"Dengan nilai perniagaan yang mencecah ratusan juta ringgit serta pengurusan rantaian nilai perniagaan yang baik, saya yakin KOPEKS akan turut menjadi penggerak kepada perubahan dan transformasi ekonomi sektor koperasi di Sabah."

"Apa yang penting, KOPEKS perlu terus diurus dengan bijak dan profesional. Saya optimis dengan kepimpinan yang berwibawa dan komitmen penuh para ahlinya, KOPEKS mampu bergerak lebih maju dan berjaya lagi," katanya dalam teks bagi perasmian mesyuarat agung tahunan ke-38 KOPEKS di sini Ahad.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Hajiji Noor.

Musa juga berharap KOPEKS, yang mempunyai keanggotaan lebih 11,000 orang, sentiasa komited, berintegriti, telus dan fokus kepada hala tuju organisasi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment