Friday, June 7, 2013

Cadang wujud 1Keluarga 1Koperasi

KUANTAN 6 Jun - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan 1Keluarga 1Koperasi dalam usaha menggalakkan penglibatan masyarakat.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130607/wp_01/Cadang-wujud-1Keluarga-1Koperasi
Published: Jun 07, 2013



Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, penubuhan koperasi dalam kalangan ahli keluarga amat baik terutama dilihat dari aspek pengurusan aktiviti perniagaan dan kewangan.

"Jika ia diuruskan dengan betul dan aktif, setiap koperasi akan berkembang dengan pesat dan memberi pulangan yang amat baik.

"Tambahan pula terdapat kalangan profesional dan ahli akademik dalam anggota keluarga yang pastinya dapat menyumbang idea dan kepakaran," katanya ketika sesi taklimat bersama pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di Wisma Persekutuan di sini semalam.
Yang hadir sama, Pengarah SKM negeri, Mohamad Zawawi Mahmud.

Menurut Shahiruddin, SKM juga perlu mengubah pendekatan dalam usaha menggalakkan penyertaan orang ramai menubuhkan koperasi terutama dari segi jumlah keahlian.

"Kurangkan jumlah ahli daripada 50 kepada 20 atau 30 orang bagi menggalakkan lebih banyak koperasi ditubuhkan.

"Ini kerana bukan mudah untuk mencari ahli yang betul-betul komited terutama dalam pengurusan dan pembahagian saham.

"Saya berpendapat lebih kecil jumlah ahli pada peringkat permulaan sesebuah koperasi akan lebih mudah untuk diuruskan," jelasnya.

Beliau turut menggesa SKM mengkaji semula keberkesanan program-program yang dilakukan sebelum ini sama ada membawa kebaikan kepada masyarakat keseluruhan atau tidak.

"Saya harap SKM teliti semula program yang disusun sebelum ini sama ada mendapat sambutan masyarakat atau sebaliknya kerana saya tidak mahu setiap pelaksanaan program hanya memuaskan hati para pegawai.

"Sedangkan di peringkat bawahan mereka tidak merasai dan mendapat apa yang sebenarnya diharapkan pucuk pimpinan," jelasnya.

No comments:

Post a Comment