KUANTAN 11 Jun - Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak boleh sekadar menyediakan premis untuk disewa, sebaliknya harus bertindak menjual lot perniagaan kepada usahawan yang mampu dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera di kawasan bandar.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130612/wp_02/Mara-perlu-bertindak-jual-lot-niaga-kepada-golongan-usahawan
Published: Jun 12, 2013
Shahiruddin Ab. Moin (tiga kanan) menyatakan sesuatu kepada kakitangan
Mara ketika sesi Taklimat Program Pembangunan Usahawan Mara di
Kuantan, semalam. Turut kelihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan
negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, untuk itu, sudah masanya
Mara membina lebih banyak bangunan komersial dan kemudiannya menjual
kepada para peniaga bumiputera agar wujud keseimbangan pemilikan premis
perniagaan.
"Dasar Mara sebelum ini yang hanya menyediakan premis untuk disewa
perlu dikaji semula dan dibuat penambahbaikan sejajar dengan keperluan
semasa seperti menjual terus kepada penyewa berkenaan.
"Pada masa sama, Mara perlu memikirkan untuk membangunkan lebih
banyak premis komersial agar wujud persaingan secara sihat supaya
satu-satu perniagaan itu tidak dimonopoli oleh satu kaum sahaja,"
katanya.
Shahiruddin berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar
taklimat program pembangunan usahawan Mara sempena lawatan kerja beliau
ke agensi itu di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Mara negeri, Salemi Yusof.
Menurut Shahiruddin, pengurusan tertinggi Mara juga perlu melakukan
pemantauan dengan lebih kerap untuk melihat sendiri prestasi golongan
sasaran di bawah mereka.
"Sekiranya lebih kerap pemantauan dilakukan setiap kelemahan pasti dapat diatasi serta diselesaikan segera.
"Saya juga akan berusaha untuk mengadakan pertemuan sebulan sekali
dengan semua agensi kerajaan yang terlibat dengan pembangunan usahawan
agar pelaksanaan gerak kerja lebih berfokus," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati usahawan bumiputera agar
tidak gentar untuk bersaing dengan kaum lain sebaliknya bijak mencari
peluang dan belajar daripada kejayaan mereka.
"Seharusnya kita belajar daripada budaya berniaga kaum lain terutama
Cina dan kalau bersesuaian kita akan panggil mereka yang berjaya untuk
berkongsi pengetahuan dan pengalaman agar sama-sama dapat bersaing
secara sihat.
"Apa yang penting, usahawan bumiputera jangan lakukan amalan
'ali-baba' yang hanya menggagalkan apa yang kerajaan usahakan,"
jelasnya.
No comments:
Post a Comment