KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Usahawan produk berasaskan pertanian
perlu memanfaatkan pinjaman dan kemudahan ditawarkan Tekun Nasional
untuk menghasilkan produk makanan halal untuk pasaran luar negara yang
bernilai lebih RM3 trilion, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas
Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=956015
Published: Jun 14, 2013
Katanya logo Halal Malaysia kini diterima dan yang paling dipercayai di seluruh dunia.
Malah, menurutnya, banyak syarikat asing menggunakan Malaysia sebagai
hab untuk membungkus semula produk mereka di negara ini bagi mendapatkan
cap Halal Malaysia.
"Ini kerana logo Halal Malaysia memudahkan produk mereka dipasarkan di
seluruh dunia. Pengusaha tempatan perlu mengambil kesempatan dari
kelebihan logo Halal Malaysia ini," katanya kepada pemberita selepas
mesyuarat di Tekun Nasional di sini Khamis.
"Daripada sejumlah 258,676 usahawan yang menerima bantuan Tekun
Nasional sejak 1998 hingga 31 Mei tahun ini hanya 10 peratus merupakan
usahawan tani atau industri berasaskan pertanian. Jumlah ini adalah
terlalu kecil."
Dalam mesyuarat hari ini Ismail Sabri diberikan taklimat mengenai Tekun
Nasional secara terperinci mengenai peranan, pinjaman dan
program-program yang ditawarkannya.
Ismail Sabri berkata sejak 1998 sehingga 31 Mei tahun ini, Tekun
Nasional sudah mengeluarkan RM2.7 bilion pinjaman melibatkan 258,676
pengusaha dengan bayaran balik RM1.58 bilion.
"Sektor terbesar yang mendapat bantuan Tekun Nasional ialah perkhidmatan
iaitu sebanyak 45 peratus, diikuti peruncitan (35 peratus), pertanian
dan perusahaan asas tani (10 peratus), pembuatan (8 peratus) dan
pembinaan serta kontraktor kecil (2 peratus)," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment