Monday, June 10, 2013

Syor perhebat R&D jenama francais

Kuala Lumpur: Persatuan Francais Malaysia (MFA) menggesa pemilik jenama francais untuk sentiasa memperhebat kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan usaha niaga mereka kekal relevan kepada pengguna.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SyorperhebatR_Djenamafrancais/Article
Published: Jun 10, 2013

Pastikan produk kekal diterima di pasaran

Aspek R&D berterusan perlu diberi perhatian kerana ada perniagaan francais sedia ada yang semakin kurang mendapat sambutan pengguna berikutan faktor kegemaran menu bermusim seperti donut segera.
Perniagaan francais yang sudah kukuh perlu mengembangkan operasi ke luar negara seperti di Indonesia dan China yang mempunyai pasaran lebih meluas bersandarkan jumlah penduduk” Muhamad Shukri Salleh, Setiausaha Agung MFA
Setiausaha Agung MFA, Muhamad Shukri Salleh, berkata arah aliran perniagaan francais kini tertumpu kepada penyediaan makanan atau minuman (F&B) ringkas seperti air, aiskrim dan yogurt, terutama di kalangan peserta baru industri.

Katanya, antara faktor yang menjadikan menu ringkas itu popular adalah penerimaan meluas dalam kalangan pengguna di negara ini terutama golongan muda dan yang sudah berkeluarga.

Menu ringkas, menarik

Menu ringkas berkenaan bukan saja mudah untuk dimakan atau diminum tetapi ia turut ditampilkan dalam persembahan hidangan yang menarik menerusi penggunaan pelbagai warna serta pelbagai bentuk tambahan penambah rasa yang berbeza.

Semua ciri ini amat sesuai dengan cita rasa generasi muda di negara ini selain pengguna berkeluarga. Kebiasaannya golongan inilah yang membanjiri tempat tumpuan awam di kedai makanan ringkas seperti pusat beli-belah.

“Justeru, industri francais terutama pemilik jenama francais itu sendiri perlu giat melakukan R&D sejajar arah aliran semasa untuk memastikan produk mereka kekal diterima di pasaran, selain tidak mengetepikan aktiviti promosi dan pengiklanan,” katanya dalam satu pertemuan dengan BH.

MFA adalah persatuan induk perniagaan francais yang mana ia turut membantu Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam mengawal selia dan membantu mengembangkan lagi industri francais Malaysia di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pasaran terhad

Dalam pada itu, Muhamad Shukri berkata, Malaysia adalah pasaran yang terhad bagi perniagaan francais tertentu berikutan saiz penduduk kecil kira-kira 28.5 juta selain persaingan daripada pesaing tempatan lain.

“Perniagaan francais yang sudah kukuh perlu mengembangkan operasi ke luar negara seperti di Indonesia dan China yang mempunyai pasaran yang lebih meluas bersandarkan jumlah penduduk yang kian meningkat selain peningkatan kuasa beli dalam kalangan pengguna negara berkenaan.

“Jenama francais tempatan yang sudah berjaya mengembangkan operasi mereka di luar negara patut menjadikan Malaysia sebagai pusat R&D bagi produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan,” katanya.

Mengikut MFA, hingga kini sudah ada kira-kira 20 jenama francais tempatan yang beroperasi di China dan Indonesia.

No comments:

Post a Comment