Wednesday, June 5, 2013

Boikot peniaga naikkan harga

KUALA TERENGGANU 4 Jun - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menasihatkan peniaga di negeri ini tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya terutama ketika musim cuti sekolah.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130605/wt_01/Boikot-peniaga-naikkan-harga
Published: Jun 05, 2013


Ahmad Said melihat produk roti di gerai jualan dalam Karnival 
Usahawan Mega Zon Timur di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Beliau berkata, sikap tamak mereka akan menjejaskan kemasukan pelancong dan memberi imej tidak baik kepada negeri ini.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai memboikot restoran yang didapati menjual makanan pada harga keterlaluan.

"Masalahnya, makanan bukan barang kawalan dan ada orang tengah ambil 'untung atas angin'. Makanan laut di Kuala Lumpur pun lebih murah jika dibandingkan di Terengganu.

"Harga makanan dan industri pelancongan ini memang ada kaitan. Tapi itulah, kadang-kadang orang kita terperangkap. Sudah masuk kedai terus pesan makanan, tak tanya (harga). Lepas itu baharu garu kepala," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Mega Zon Timur melibatkan 100 usahawan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di Dataran Shahbandar, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud, wakil Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara) merangkap Pengerusi Jawatankuasa karnival berkenaan, Mohd. Ishak Zakaria dan Pengarah Mara negeri, Abdullah Mohamad.

Karnival selama empat hari itu pertama kali diadakan melibatkan tiga negeri serentak berbanding sebelum ini yang cuma diadakan di peringkat negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Ahmad berharap usahawan menjadikan karnival tersebut sebagai platform memperluas perniagaan mereka selain meningkatkan pendapatan masing-masing.

"Kalau boleh setiap kali musim cuti sekolah, Mara juga boleh mengambil inisiatif memanggil semua usahawan bumiputera ini berkumpul untuk menjual produk masing-masing. Kita alu-alukan," katanya.

No comments:

Post a Comment