Sunday, June 23, 2013

Sepuluh Syarikat Malaysia Sertai Ekspo Luxury China

BEIJING, 22 Jun (Bernama) -- Sebanyak sepuluh syarikat Malaysia mengambil bahagian dalam Ekspo Luxury China ke-2 untuk meneroka ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=957956
Published: Jun 23, 2013

Produk dan perkhidmatan yang dipamerkan oleh syarikat-syarikat Malaysia itu termasuklah pakaian mewah, barang kemas, hasil seni dan hadiah, lukisan, barangan antik, kasut, produk penjagaan kulit, kosmetik, batik dan kopi luwak.

Ini adalah kali pertama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menganjurkan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia sebagai langkah awal untuk menembusi pasaran ini, kata Pesuruhjaya Perdagangan Kanan merangkap Kaunselor Perdagangan Matrade, Abu Bakar Yusof.

Memandangkan China dijangka menjadi pasaran mewah terbesar di dunia menjelang 2015, kini tepat pada masanya bagi syarikat-syarikat Malaysia memanfaatkan potensi pasaran China yang sangat luas itu, katanya kepada Bernama Sabtu.

Contohnya, kata beliau, kopi putih Malaysia telah menjadi jenis kopi yang sangat lumrah bagi pengguna China.

"Sekarang inilah masanya untuk memperkenalkan kopi luwak kepada pasaran kelas sederhana atasan China," kata Abu Bakar, sambil menambah bahawa langkah itu juga dianggap sebagai satu inisiatif untuk meningkatkan eksport Malaysia yang disasarkan berganda dalam tempoh lima tahun.

China dijangka menyumbang jualan mewah global sebanyak kira-kira 20 peratus atau 180 bilion yuan (US$27 bilion) pada 2015.

Perangkaan menunjukkan pengguna China telah menjadi satu daripada kumpulan pengguna mewah terbesar di dunia dan pasaran China telah berkembang menjadi pasaran penggunaan mewah kedua di dunia.

Ekspo Luxury China Ke-2 yang diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa China ini, menarik pempamer jenama-jenama mewah dari 12 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Jerman, Itali, Australia dan Switzerland, yang mempamerkan 86 jenama terkenal dari dalam dan luar negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Asian Secrets Sdn Bhd, Victor Ooi Boon Beng, berkata penyertaan syarikat itu dalam ekspo ini bertujuan untuk mewujudkan kesedaran terhadap kopi luwak mewahnya di kalangan pengguna China dan untuk mencari rakan kongsi.

Ooi berkata syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran jualan bernilai beberapa ratus ribu yuan pada pameran barangan mewah selama tiga hari dari 22 hingga 24 Jun itu.

Public Gold Group, sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan bersepadu dalam perniagaan emas, menganggap China sebagai pasaran yang sangat besar bagi perniagaannya.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Louis Ng, berkata warga China melabur dalam emas dan menyimpan emas sebagai barangan mewah sejak berkurun-kurun lamanya dan dengan demikian beliau percaya permintaan bagi emas fizikal pasti menggalakkan.

Beliau berkata syarikat itu memperkenalkan perkhidmatan Penyimpanan Emas Khas (AGSS) kepada pasaran China kerana pengguna boleh menyimpan emas fizikal mereka dalam bilik kebal yang dijamin keselamatannya oleh Public Safe Management Sdn Bhd.

"Kami menyediakan urus niaga dalam talian 24 jam, yang sebut harga belian atau jualannya boleh dipantau oleh pengguna pada bila-bila masa mereka mahu," katanya.

Dilaporkan semalam bahawa penggunaan emas China melonjak lebih daripada 36 peratus kepada 456.3 tan metrik dalam empat bulan pertama tahun ini, dan keseluruhan permintaan mungkin dalam lingkungan 900 hingga 1,000 tan metrik.

Persatuan Emas China meramalkan permintaan emas di China akan meningkat tahun ini kerana orang ramai semakin kaya manakala pilihan pelaburan terhad.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment