Monday, June 24, 2013

Perolehan koperasi RM32b

Georgetown: Sektor koperasi membabitkan pelbagai bidang berjaya mencatat perolehan RM32 bilion sepanjang tahun lalu. Ketua Eksekutif, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Nik Ali Mat Yunus, berkata jumlah perolehan itu turut mengambil kira prestasi jualan syarikat yang bernaung di bawah koperasi terbabit.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/articles/PerolehankoperasiRM32b/Article/
Published: Jun 24, 2013

Perolehan koperasi RM32b
Nik Ali (dua dari kanan) bersama kakitangan SKM Pulau Pinang 
pada taklimat pengukuhan perniagaan koperasi di Bayan Baru, Pulau Pinang.

“Berdasarkan penyata statistik yang diaudit, kita mencapai jumlah RM32 bilion perolehan daripada semua sektor koperasi di seluruh Malaysia, membabitkan 10,000 koperasi.

“Ia satu petanda baik kerana mengikut Asia Pacific International Cooperative Alliance iaitu perkiraan yang mengambil kira apa jua perolehan syarikat subsidiari di bawah pergerakan koperasi dianggap sebagai perolehan koperasi,” katanya selepas perasmian dalam taklimat pengukuhan perniagaan koperasi yang berlangsung di Bayan Baru dekat sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah SKM negeri, Gerald Prem Kumar Geoffrey dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Yakin sasaran dicapai

Nik Ali berkata, beliau yakin sasaran perolehan sektor koperasi negara RM40 bilion pada 2020 boleh dicapai berdasarkan rekod semasa selain sistem urus tadbir koperasi yang baik.
Katanya, komitmen ahli koperasi dan kecekapan bahagian pengurusan koperasi perlu dipertingkatkan supaya sektor koperasi negara dapat berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Saya yakin jika sistem tadbir urus baik, pendekatan ahli lembaga serta pengurus koperasi ke arah menjadikan koperasi kepada sistem rangkaian perniagaan baik dan berupaya menembusi pasaran domestik, serantau dan antarabangsa menjelang 2020 dapat dicapai.

“Komitmen daripada pergerakan koperasi penting untuk mencapai kejayaan ini, di mana tadbir urus korporat sesebuah koperasi amat penting kerana ialah kunci kejayaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment