Tuesday, May 29, 2012

Jom Niaga bantu usahawan IKS

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/jom-niaga-bantu-usahawan-iks-1.51506

Published: May 28, 2012
NORSHAHZURA MAT ZUKI

Najib bersama sebahagian penerima anugerah sempena program Jom Niaga di Shah Alam.
Najib bersama sebahagian penerima anugerah sempena 
program Jom Niaga di Shah Alam.

SHAH ALAM – Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana - Jom Niaga yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, bermula 10 hingga 11 Mei lepas mendapat sambutan daripada pengunjung, khususnya dari sekitar Lembah Klang.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan SME Corp itu bertujuan memantapkan hubungan di antara kementerian, agensi kerajaan, syarikat korporat dan orang ramai.

Antara aktiviti yang diadakan berunsur keusahawanan, bimbingan perniagaan melalui beberapa siri ‘Pocket Talk’ dan bantuan kewangan untuk menjana lebih banyak peluang kepada peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berkongsi dan menikmati kemakmuran negara sejajar dengan perkembangan ekonomi di rantau ini.

Menterinya, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, program Jom Niaga penting untuk menzahirkan komitmen kerajaan bagi membantu peniaga di seluruh negara.

“Tujuan ia diadakan untuk memberikan anugerah kepada usahawan PKS yang berjaya dan memberikan peluang kepada mereka mempamerkan produk dan perkhidmatan.

“Seramai 350 usahawan terlibat dalam program ini.

Kerajaan prihatin terhadap usahawan kecil kerana kita mahu menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi dua kali ganda pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberikan tumpuan untuk menaikkan pendapatan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan memberikan kemajuan kepada PKS yang menyumbang kepada kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasmikan program itu turut melancarkan Skim Pengkomersialan Inovatif Patuh Syariah (CIF) bernilai RM500 juta kepada usahawan PKS yang layak di seluruh negara.

Peruntukan RM500 juta itu merupakan tambahan kepada skim pembiayaan PKS patuh syariah bernilai RM2 bilion yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bachok, Kelantan pada 24 April lalu.

Selain CIF, usahawan PKS yang terjejas akibat banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh boleh memohon untuk mendapatkan bantuan kewangan yang diperuntukkan di bawah Dana Kecemasan PKS bernilai RM10 juta.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Miti, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa berkata, dana bernilai RM500 juta terbuka kepada semua syarikat yang mendapat pengiktirafan 1-innoCERT dan syarikat-syarikat ini boleh memohon mulai 1 Julai 2012.

“Sehingga kini, 115 syarikat tempatan yang mendapat pengiktirafan. Pembiayaan ini bertujuan untuk menambah bantuan kepada syarikat yang layak bagi meningkatkan inovasi produk serta servis mereka yang telah berada di peringkat  komersial,” katanya.

Menurutnya, melalui dana yang disalurkan kepada PKS dalam bentuk pembiayaan CIF, Kerajaan Pusat akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.

Katanya, Jom Niaga merupakan platform untuk menonjolkan isu-isu mikro yang berkaitan keusahawanan dan mengubah pandangan umum yang menggunakan pendekatan pengurusan berbanding keusahawanan.

Turut diadakan penyampaian anugerah kepada Usahawan Mikro bertujuan mengiktiraf usahawan-usahawan mengikut empat kategori, iaitu Usahawan Berjaya, Usahawan Inovatif, Usahawan Wanita dan Usahawan Muda.

Friday, May 25, 2012

Koponas bayar dividen 19.3 peratus

KOPERASI Pos Nasional Berhad (Koponas) mengumumkan pembayaran dividen 19.3 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 membabitkan RM2.3 juta kepada 6,442 ahlinya di seluruh negara.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Koponasbayardividen19_3peratus/Article/index_html
Published: May 10, 2012

Pengerusinya, Abdul Rahman Md Zain berkata, dividen itu diputuskan selepas mengambil kira pencapaian koperasi itu sepanjang tahun lalu menerusi aktiviti pinjaman, jualan dan pelaburan.

“Koponas memperoleh keuntungan bersih RM3.4 juta tahun lalu. Walaupun kurang berbanding tahun sebelumnya, kadar keuntungan dinikmati setiap ahli masih sama,” katanya pada mesyuarat agung perwakilan tahunan ke-35 Koponas dirasmikan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad, Datuk Khalid Abdol Rahman.

Friday, May 11, 2012

Koperasi diunjur sumbang KDNK 10%

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KoperasidiunjursumbangKDNK10_/Article/index_html

Published: May 10, 2012

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menggariskan beberapa strategi dalam usaha meningkatkan pendapatan koperasi di Malaysia termasuk menjalankan perniagaan yang diusahakan atas nama koperasi berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata usaha berkenaan kini dianggap penting bagi meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini hanya sekitar dua peratus.

“Kita menetapkan menjelang 2015, sumbangan koperasi mencecah lima peratus dan meningkat kepada 10 peratus pada 2020.

“Namun, apa yang dilihat kini peratusan sumbangan sektor ini masih rendah sedangkan tempoh untuk ke tahun 2020 hanya tinggal lapan tahun lagi,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Ekonomi Koperasi 2012 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, antara cara lain yang boleh diguna pakai koperasi adalah dengan menjalin kerjasama antara koperasi dan syarikat korporat bagi mendapatkan dana dan menjalankan perniagaan dengan lebih berkesan.

“Selain itu, koperasi mikro turut boleh bekerjasama dengan koperasi besar melalui program mentor mentee dan memilih perniagaan yang sesuai untuk jangka masa panjang,” katanya.


Menurutnya, pihaknya sudah melihat beberapa koperasi yang mengusahakan stesen minyak dan ia memberi pulangan baik untuk jangka masa panjang.

“Semua koperasi seharusnya mengambil inisiatif seumpama itu untuk kekal berdaya saing dan menjamin kemudahan di kalangan ahli,” katanya.

Menurutnya, kementerian meletakkan sasaran meningkatkan jumlah koperasi kepada 16,000 berbanding 9,000 koperasi sedia ada.

Ia juga dijangka membabitkan usaha mengurangkan jumlah koperasi mikro.