Monday, January 21, 2013

Ikhlas beri tempoh 2 minggu

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) memberi tempoh dua minggu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan terhadap penjaja warga asing yang tidak mempunyai lesen di Desa Tasik, Sungai Besi di sini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130121/wk_01/Ikhlas-beri-tempoh-2-minggu
Published: January 21, 2013

RIZALMAN Mokhtar (dua dari kanan) berbincang dengan sebahagian 
penduduk selepas sesi dialog mengenai bantahan mereka terhadap 
kegiatan penjaja warga asing di Pangsapuri Desa Tasik Fasa 1 A di 
Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, kewujudan penjaja warga asing di kawasan tersebut umpama cendawan tumbuh selepas hujan yang kalau tidak dibendung mampu memberi impak buruk kepada negara.

"Kehadiran penjaja warga asing di sini menimbulkan banyak kesan negatif, antaranya termasuklah kesesakan lalu lintas. Mereka ini akan berniaga di kaki-kaki lima dan pengunjung akan meletak kenderaan mereka di bahu-bahu jalan yang secara tidak langsung menyebabkan jalan sesak.

"Tindakan warga asing yang membuang sampah di dalam longkang turut menjadikan longkang tersumbat," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis dialog mengenai gesaan Penduduk Pangsapuri Desa Tasik Fasa 1 A agar DBKL mengambil tindakan terhadap penjaja warga asing di situ.

Menurutnya, jika DBKL gagal berbuat demikian, pihaknya akan membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar yang turut hadir dalam majlis tersebut berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan penganjur penjaja dalam masa terdekat bagi menyelesaikan perkara tersebut.

"Tidak semua penjaja di kawasan ini terdiri daripada warga asing, oleh itu kita akan cari jalan penyelesaian sama ada menambah baik kawasan penjaja sedia ada atau meminta mereka dipindahkan ke kawasan lain," katanya.

Dalam bantahan tersebut, penduduk turut menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai peniaga pasar malam Rabu yang meletak kenderaan di dalam kawasan pangsapuri sehinggakan penghuni tidak mendapat petak letak kenderaan.

Sehubungan itu mereka mendesak agar pintu pagar utama kawasan pangsapuri itu ditutup pada hari Rabu.

Menjawab soalan tersebut, Rizalman berkata, pihaknya akan mengadakan sesi perbincangan dengan DBKL, penganjur pasar malam serta pihak berkaitan untuk mencari inisiatif terbaik bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Mungkin peniaga pasar malam akan dipindahkan ke kawasan baru di sekitar Sungai Besi, tapi itu belum diputuskan lagi. Bergantung kepada perbincangan yang akan dijalankan nanti," jelasnya.

No comments:

Post a Comment